SYDNEY: Saintis Australia menemukan spesies lebah baharu bertanduk kecil dengan rupa menakutkan yang dinamakan ‘Megachile Lucifer’.
Serangga aneh itu ditemukan di kawasan Goldfields di Australia Barat, menurut pengumuman Universiti Curtin pada Selasa.
Saintis Sekolah Sains Molekul dan Kehidupan Universiti Curtin, Kit Prendergast menemui lebah itu ketika menjalankan kajian terhadap sejenis bunga liar yang diancam kepupusan di Banjaran Bremer dan terus tertarik dengan penampilan unik serangga berkenaan.
“Lebah betina itu mempunyai tanduk kecil yang luar biasa di wajahnya. Sebagai peminat tegar rancangan TV Netflix Lucifer, saya merasakan nama itu amat sesuai dengan rupa lebah tersebut yang kelihatan seperti syaitan.
“Ia merupakan ahli baharu pertama dalam kumpulan lebah ini yang dikenal pasti dalam tempoh lebih 20 tahun, menunjukkan betapa banyak lagi kehidupan yang masih belum kita temui,” kata Prendergast.
Beliau turut berharap laporan penemuan yang diterbitkan dalam Journal of Hymenoptera Research itu dapat meningkatkan kesedaran tentang jumlah spesies belum ditemui yang mungkin masih wujud, terutamanya di kawasan yang terancam oleh aktiviti perlombongan.
“Banyak syarikat perlombongan masih belum menjalankan tinjauan terhadap lebah asli, jadi kita mungkin terlepas spesies yang belum dikenal pasti, termasuk yang memainkan peranan penting dalam menyokong tumbuhan dan ekosistem terancam.
“Tanpa mengetahui lebah asli yang wujud dan tumbuhan yang mereka bergantung hidup padanya, kita berisiko kehilangan kedua-duanya sebelum sempat menyedari kewujudan mereka,” katanya.
Hampir semua tumbuhan berbunga bergantung kepada pendebunga liar, terutamanya lebah, namun kehilangan habitat dan perubahan iklim sedang menolak banyak spesies penting ke ambang kepupusan.-AFP











