Lebih 30 selebriti bakal riuhkan Kelate Charity Festival - Utusan Malaysia

Lebih 30 selebriti bakal riuhkan Kelate Charity Festival

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai lebih 30 selebriti termasuk penyanyi dikir dan penceramah bakal memeriahkan Kelate Charity Festival 2025 (KC Fest 2025) yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan bermula 17 hingga 20 September ini.

Festival amal anjuran bersama Madoo Bee, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan HMS Maju Group, yang menggunakan slogan ‘Kasih Disemai, Rezeki Dikongsi, Budaya Kelate’ ini bakal turut melibatkan para selebriti yang dekat di hati masyarakat Kelantan.

Wakil penganjur, Muhammad Nazrin Mohamad Isa merangkap koordinator KC Fest berkata, penglibatan selebriti turut memainkan peranan penting menarik orang ramai ke program amal ini.

Antara selebriti yang bakal menjayakan KC Fest ini ialah Datuk Awie, Datuk Nash, Faizal Tahir, Senario, Ameng Spring, Caliph Buskers, Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Naqiu, Halim Yazid, Bob Sentuhan dan ramai lagi.

Bukan itu sahaja lebih 20 penyanyi dikir yang dekat di hati rakyat Kelantan akan turut membuat persembahan.

“Program amal ini memang amat dekat di hati saya dan semua artis yang menyertainya.Saya rasa berbesar hati apabila ramai selebriti sudi menyokong festival amal ini.

“Saya percaya sebagai artis atau selebriti, mereka boleh guna bakat dan populariti yang ada untuk menggalakkan masyarakat supaya ambil bahagian dalam program amal sebegini.

“Sebagai penganjur, pemilihan artis dibuat dengan teliti dan mengambil kira cita rasa masyarakat Kelantan yang sukakan hiburan santai, mesra keluarga serta bercorak budaya.

“Apa yang istimewa, kami gabungkan artis kebudayaan tempatan, penyanyi terkenal tanah air, ikon masyarakat dan juga penceramah. Semua ini untuk pastikan festival ini benar-benar dekat di hati rakyat,” katanya yang mensasarkan 50,000 pengunjung ke KC Fest kali ini.

Selain persembahan artis dan pelbagai gerai jualan, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik lain.

Antaranya Kelate Charity Walk yang turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang berkenan untuk turun padang berjalan bersama rakyat.

Program keluarga turut disediakan seperti persembahan Didi & Friends, pertandingan mewarna, catur dan push bike untuk kanak-kanak.

“Selain itu, segmen Malam Kerohanian akan menyaksikan 1111 peserta selawat berkumpul dalam Selawat Perdana.

Untuk segmen kerohanian juga, turut diadakan sesi perkongsian ilmu oleh penceramah, Ustazah Asmak Husin dan artis jemputan, Angeline Tan.

“Manakala Malam Kebudayaan pula akan memecahkan rekod Kelantan dengan persembahan 1111 orang pendikir di satu pentas besar dan ditutup dengan pertunjukan bunga api,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif KC Fest, Muhammad Kamal Azmi Mohd Radin berkata, KC Fest 2025 turut meraikan 500 orang asnaf dengan sumbangan daripada pihak penaja iaitu Maybank, Bank Muamalat dan Agro Bank.

Menurut Kamal Azmi yang juga pengasas Madoo Bee ini lagi, KC Fest adalah satu tanggungjawab sosial dan tanda prihatin mereka untuk terus membantu golongan asnaf atau yang memerlukan.

“Matlamat utama festival ini adalah untuk menggerakkan semangat kebajikan dan kesatuan rakyat.

“Kita mahu sampaikan mesej bahawa rezeki boleh dikongsi, kasih sayang boleh disemai dan budaya boleh terus dipelihara.

“Dana festival ini yang diperoleh daripada sewaan booth dan penjualan pakaian akan disumbangkan ke tabung KC Fest 2026. Insya Allah, kami sasarkan sebanyak RM 500,000 untuk tabung tersebut.

“Hasil daripada festival ini akan disalurkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan. Bagi saya, ini penting agar masyarakat dapat melihat bahawa hiburan dan kebajikan boleh berjalan seiring sekaligus mendatangkan manfaat besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebagai menjawab pertanyaan beberapa pihak, Kamal Azmi juga turut menjelaskan tentang pemilihan lokasi di Kelantan untuk acara amal ini.

“Kelantan dipilih kerana negeri ini kaya dengan budaya, tradisi dan semangat kebersamaan yang sangat kuat. KC Fest sebenarnya membawa mesej bahawa budaya, kesenian dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu platform besar.

“Kelantan mempunyai keunikan tersendiri daripada sudut warisan seni, makanan tradisi sehinggalah kekuatan komuniti.

“Kita mahu Kelantan jadi titik permulaan sebelum festival ini dibawa ke peringkat lebih luas, sekaligus memperkenalkan budaya Kelantan yang sebenar kepada seluruh negara,” katanya.

Kamal Azmi juga berharap KC Fest ini menjadi satu lambang kekukuhan perpaduan rakyat.

“Harapan kami agar KC Fest menjadi sebuah platform tahunan yang bukan sahaja menghiburkan rakyat, tetapi juga membina semangat bersatu hati dalam membantu golongan yang memerlukan.

“Kami mahu jadikan Kelantan contoh kepada negeri-negeri lain di mana budaya, hiburan dan kebajikan boleh digabungkan dalam satu festival.

“Insya Allah, kami berharap KC Fest dapat diangkat menjadi acara rasmi negeri Kelantan setiap tahun, demi rakyat, budaya dan kebajikan,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN