KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Alyah mendedahkan,suaminya, Maestro terkemuka tanah air, Datuk Ramli MS, bukan sahaja tidak mudah terpedaya dengan makanan viral atau trending, tetapi juga mempunyai selera yang amat cerewet.
Ini kerana,kata Alyah, suaminya yang mesra disapa sebagai Tok Ram itu sudah terbiasa menikmati hasil air tangannya sendiri.
“Saya kadang-kadang ikut juga trend makanan viral, tengok orang pergi ke tempat-tempat baru, saya pun teringin ajak dia. Tapi dia tak pernah nak ikut.
“Dia kata kenapa nak pergi makan sana sini, sedangkan dia dah puas hati dengan apa yang dia masak sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Alyah, sejak berkahwin, Tok Ram memang gemar memasak sendiri dan mempunyai standard tersendiri dalam aspek rasa dan kualiti makanan, terutamanya menu kegemarannya, asam pedas.
“Daripada sebelum kahwin sampai sekarang, setiap hujung minggu mesti ada asam pedas. Dia memang buat kajian bertahun-tahun tentang rasa, bahan, jenis ikan, semua dia ambil kira.
“Saya sendiri tak pernah jumpa asam pedas yang lebih sedap daripada dia masak.
“Kalau balik rumah pun, dia nak asam pedas yang dia masak. Jadi tak ada isu nak kejar makanan viral. Dia lebih yakin dengan hasil air tangannya sendiri,” kata Alyah lagi.
Tidak cuma itu, kongsi Alyah, Tok Ram juga cenderung mengawal sepenuhnya ruang dapur apabila sedang memasak.
“Kalau dia tengah masak, saya tak boleh masuk dapur. Dia akan uruskan semua sendiri. Dengan pembantu rumah saya pun sama. Kalau dia ada di dapur, orang lain tak payah masuk. Memang dia kawal sepenuhnya,” katanya.