LOS ANGELES: Penyanyi dan pelakon antarabangsa, Miley Cyrus menegaskan, setakat ini belum ada sebarang perancangan untuk mengadakan konsert jelajah dunia untuk membawa kembali watak ikonik Hannah Montana pada tahun 2026.
Kenyataan itu sekali gus menutup spekulasi yang hangat diperkatakan peminat di seluruh dunia sejak beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, bintang kelahiran Tennessee itu mengakui ada merancang untuk menghasilkan sesuatu yang istimewa sempena ulang tahun ke-20 watak tersebut.
Namun, kata Miley, ia bukan bermakna peminat akan melihat siri jelajah besar-besaran seperti era kegemilangan Hannah Montana dahulu.
“Saya mahu cipta sesuatu yang benar-benar bermakna untuk peminat, tetapi ia tidak akan berbentuk jelajah dunia seperti yang ramai fikirkan,” jelasnya.
Cyrus, 32, sebelum ini pernah menjelaskan bahawa dia kurang berminat untuk mengembara bagi menjayakan persembahan berskala besar kerana komitmen masa dan tenaga yang diperlukan amat tinggi.
Dalam temu bual berasingan bersama Good Morning America, penyanyi lagu Flowers itu berkata walaupun dia memiliki kemampuan dan peluang, jadual jelajah dunia yang padat bukan lagi keutamaan dalam kehidupannya kini.
Selain itu, faktor kesihatan turut mempengaruhi keputusan tersebut.
Cyrus pernah mengalami masalah Reinke’s edema pada peti suara, keadaan yang memerlukan penjagaan rapi dan had tertentu bagi mengelakkan kerosakan jangka panjang.
Menurutnya, dia mahu setiap persembahan dilakukan secara langsung dengan kualiti vokal terbaik, justeru format jelajah global yang memerlukan nyanyian hampir setiap malam tidak lagi sesuai dengan keadaannya.
Spekulasi mengenai konsert jelajah 2026 semakin memuncak baru-baru ini apabila barangan rasmi Hannah Montana World Tour mula dijual di laman Disney.
Ramai peminat menganggap ia sebagai petanda awal jelajah tersebut bakal menjadi kenyataan.
Namun, sumber industri hiburan menegaskan ia hanyalah strategi pemasaran dan tidak berkaitan dengan sebarang perancangan persembahan pentas.
Hannah Montana merupakan siri televisyen terbitan Disney Channel yang mencipta fenomena global sejak ditayangkan pada 2006 hingga 2011.
Kisah remaja berganda kehidupan sebagai pelajar biasa bernama Miley Stewart dan bintang pop terkenal Hannah Montana itu melonjakkan nama Miley Cyrus ke persada hiburan antarabangsa, selain melahirkan pelbagai lagu hit, konsert jelajah, serta filem layar lebar.