Terlebih dos dadah, Lil Nas X ditahan polis - Utusan Malaysia

Terlebih dos dadah, Lil Nas X ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Penyanyi rap sensasi, Lil Nas X, 26, ditahan polis selepas didakwa berkeliaran di jalan dalam keadaan hampir bogel selain disyaki mengambil dadah secara berlebihan, awal pagi semalam.

Menurut portal hiburan antarabangsa, TMZ, penyanyi bernama sebenar Montero Lamar Hill itu dilihat merayau di kawasan Studio City kira-kira jam 4 pagi hanya dengan memakai seluar dalam dan but.

Kejadian tersebut dilaporkan oleh orang awam kepada Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) sebelum sepasukan anggota dikerah ke lokasi.

Jurucakap LAPD mengesahkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan.

“Setibanya di lokasi, suspek meluru ke arah pegawai dan cuba menyerang sebelum berjaya ditahan. Suspek kemudian dibawa ke hospital tempatan kerana disyaki mengalami overdosis dadah.

“Dia kini ditahan atas kesalahan menyerang pegawai polis,” kata jurucakap berkenaan.

Sehingga kini, wakil kepada penyanyi lagu popular Industry Baby itu belum memberikan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan.

Lil Nas X yang mula mencipta fenomena menerusi lagu Old Town Road pada 2018 sebelum berduet bersama penyanyi country Billy Ray Cyrus, pernah memegang rekod lagu paling lama menduduki carta Billboard Hot 100.

Pemenang dua trofi Anugerah Grammy itu turut menandatangani kontrak bersama Columbia Records dan melancarkan EP bertajuk 7 pada 2019 yang memuatkan lagu hits seperti Panini dan Rodeo.

Pada April lalu, penyanyi kelahiran Atlanta itu pernah dimasukkan ke hospital akibat lumpuh muka selepas mendapati otot wajahnya tidak berfungsi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN