Terlalu kurus hingga ibu sangka saya ambil barang terlarang - Amir Hasan - Utusan Malaysia

Terlalu kurus hingga ibu sangka saya ambil barang terlarang – Amir Hasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Amir Hasan mendedahkan, ibunya pernah menyangka dirinya mengambil barang terlarang apabila melihat keadaan fizikalnya semakin susut dan cengkung.

Amir atau nama sebenarnya Amir Abu Hasan, 29, berkata ibunya meluahkan kebimbangan itu sejak melihat berat badan turun hampir 16 kilogram gara-gara berdepan masalah kesihatan.

“Keadaan tubuh badan saya terlalu kurus sehinggakan mak sendiri membebel kerana risau saya ambil dadah.

“Dia bimbang sebab saya berada dalam industri hiburan, macam-macam boleh berlaku.Tetapi saya terangkan kepada mak yang itu semua tidak benar,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Restoran Pizzaiolo di Wangsa Maju, semalam.

Menurut Amir, berat badannya sebelum ini mencecah hampir 70 kilogram namun kini hanya sekitar 52 kilogram sahaja sehingga ada yang tidak lagi mengecam dirinya.

Penyanyi Big Stage musim ketiga itu turut mendedahkan keadaan tubuhnya berpunca daripada masalah kesihatan serius yang dialaminya sejak tahun lalu termasuk gastrik teruk, gerd, asma dan ketagihan rokok.

Katanya, kesan daripada masalah itu menyebabkan tahap bacaan oksigennya pernah menurun sehingga 31 peratus dan dia terpaksa menerima rawatan di hospital kira-kira tiga bulan lalu.

“Saya masuk wad kerana oksigen sangat rendah. Alhamdulillah selepas rawatan, kini sudah pulih 60 peratus walaupun belum sembuh sepenuhnya.

“Masalah kesihatan ini juga membuatkan saya tidak lagi aktif menyanyi kerana sukar mengawal pernafasan ketika membuat persembahan.

“Kali terakhir saya menyanyi di The Curve, memang tak larat dan hampir pengsan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Amir mengakui dirinya berasa sedih kerana tidak dapat meneruskan kerjaya nyanyian, namun akur untuk memberi tumpuan kepada proses pemulihan kesihatan.

“Saya masih minat menyanyi, cuma sekarang ini kesihatan perlu diutamakan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN