LOS ANGELES: Penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Snoop Dogg meluahkan rasa tidak senang terhadap kewujudan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam filem yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak.
Menurutnya, situasi itu mendorongnya untuk lebih berhati-hati dan selektif dalam memilih bahan tontonan, khususnya apabila bersama cucu-cucunya.
Perkara itu dikongsikan menerusi satu episod podcast bertajuk It’s Giving yang disiarkan baru-baru ini.
Dalam temu bual tersebut, Snoop Dogg, 53, mendedahkan pengalaman menonton filem animasi Lightyear (2022) dan Toy Story 4 (2019) bersama cucunya.
“Salah satu filem menunjukkan seorang wanita mempunyai bayi hasil hubungan dengan wanita lain. Tiba-tiba cucu saya bertanya, ‘Papa Snoop? Bagaimana dia boleh ada bayi sedangkan dia juga wanita?’,” katanya.
Snoop mengakui terkejut dan serba salah untuk memberikan penjelasan yang sesuai kepada cucunya, memandangkan filem tersebut diklasifikasikan sebagai filem keluarga.
Katanya, dia sekadar ingin menikmati masa bersama keluarga di pawagam, tetapi sebaliknya berdepan situasi yang tidak dijangkakan.
“Saya jadi takut untuk ke pawagam lagi. Rasa seperti terperangkap dengan kandungan filem yang tidak dimaklumkan. Ini filem untuk kanak-kanak, mengapa perlu diselitkan adegan seperti itu?” soalnya.
Dalam podcast yang sama, penyanyi lagu Drop It Like It’s Hot itu turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kandungan berunsur LGBT yang semakin ketara dalam pelbagai media tanpa had atau sempadan yang jelas.
Untuk rekod, Lightyear merupakan filem pecahan daripada francais Toy Story dan pernah mencetuskan kontroversi berikutan paparan hubungan sesama jenis antara watak Alisha Hawthorne dan pasangannya, Kiko.
Filem itu turut memaparkan adegan ciuman antara kedua-dua watak wanita tersebut.
Akibat kandungan tersebut, Lightyear dilaporkan telah diharamkan tayangannya di beberapa buah negara termasuk Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Di beberapa lokasi lain pula, pawagam meletakkan amaran kandungan LGBT sebelum tayangan.