KUALA LUMPUR – “Sebagai anak, saya rasa terkilan bila ibu sendiri menjadi sasaran kecaman hanya kerana andaian yang dibuat oleh orang luar tanpa mengetahui hal sebenar,”
Demikian luahan, pelakon dan penyanyi, Fattah Amin, ketika ditemui berhubung isu tular membabitkan keluarganya di media sosial.
Menurut Fattah, dia kesal dengan tindakan segelintir netizen yang sewenang-wenangnya membuat tuduhan tidak berasas sehingga menimbulkan salah faham terhadap keluarga terutama ibunya.
Kata Fattah, perkara itu mula tercetus apabila ada pihak yang merakam skrin (screen record) siaran langsung daripada bekas isterinya, Fazura sebelum memuat naik semula rakaman tersebut di platform media sosial lain.
Tindakan itu, jelasnya, telah membuka ruang kepada pelbagai tafsiran negatif yang akhirnya mengundang kecaman terhadap ahli keluarganya, termasuk ibunya sendiri.
“Saya sendiri tidak faham apa motif mereka yang suka buat rakaman skrin dan kemudian memuat naik semula untuk menimbulkan isu.
“Bila benda itu tersebar, ia mula mengundang komen-komen yang tidak sepatutnya. Ada pula yang menokok tambah cerita sehingga menimbulkan rasa tidak senang antara satu sama lain. Perkara seperti ini patut dielakkan,” katanya.
Fattah berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pengumuman Duta baharu Amber di Hotel Shangri- La, di sini, hari ini.
Selain itu, Fattah menegaskan, hubungannya dengan anak perempuan, Nur Fatima Aisya, sentiasa baik.
Malah, akui penyanyi lagu Lelaki Terakhir kerap meluangkan masa bersama anak tunggalnya itu.
“Semalam pun saya sempat bawa dia keluar. Lepas itu saya buat panggilan video dengan nenda dia. Semuanya baik-baik saja.
“Fatima memang seronok bila dapat jumpa saya. Kami keluar bermain, kadang-kadang dia datang ke rumah saya. Tidak pernah pun dia menunjukkan reaksi pelik atau emosi yang luar biasa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Fattah memberitahu bahawa hubungannya dengan bekas isteri, ibu mentua, serta Fatimah sendiri berada dalam keadaan harmoni.
Disebabkan itu, katanya, tidak nampak alasan mengapa pihak luar harus mencetuskan provokasi.
“Kalau saya bawa Fatima keluar, atau kami berjumpa di luar rumah, tiada masalah pun. Tidak ada perkara buruk yang berlaku.
“Tapi bila orang luar mula buat andaian, ia mencetuskan cerita yang tidak betul. Sebab itu saya nasihatkan ibu saya, tak payah baca atau tengok komen-komen itu. Orang luar tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya lagi.
Fattah mengakui, sebagai anak dan ayah, hati kecilnya tetap terusik apabila perkara negatif melibatkan keluarga tersebar luas.
“Tentulah saya terasa. Apabila hal seperti ini berlaku kepada ahli keluarga, memang saya kesal. Sebab itu saya selalu nasihatkan peminat, kalau tidak ada benda baik nak komen, lebih baik jangan komen langsung.
“Kalau nak komen juga, komenlah perkara yang baik-baik. Jangan tulis benda yang boleh mendatangkan fitnah,” tegasnya.
Sebelum ini, tular rakaman siaran langsung memaparkan Fatima, 5, meluahkan rasa kurang senang kepada Fazura apabila mendakwa neneknya menyebut perkara yang tidak manis mengenainya.
Namun, Fazura dengan tenang menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan perkara itu mustahil berlaku.
Adik kepada Fattah, Raihan Amin, turut tampil mempertahankan ibunya, Azizah Abd Ghani, dengan menolak segala tuduhan negatif yang dilemparkan di media sosial.
Terbaharu, Fattah berkongsi momen ceria bersama Fatima ketika keluar berjalan sambil membuat panggilan telefon kepada ibunya, selain berbincang mengenai perancangan bercuti ke Tokyo Disneyland.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 sebelum berpisah pada 7 Oktober tahun lalu.










