Dua tahun jalin cinta, Taylor Swift danTravis Kelce bertunang

Dua tahun jalin cinta, Taylor Swift dan Travis Kelce bertunang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Penyanyi sensasi,Taylor Swift dan bintang sukan Amerika Syarikat, Travis Kelce, kini bertunang selepas dua tahun menjalinkan hubungan.

Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh kedua-duanya menerusi hantaran di Instagram, semalam.

“Guru bahasa Inggeris anda dan guru pendidikan jasmani anda akan berkahwin,” tulis Swift pada kapsyen di beberapa foto Instagram yang memaparkan detik Kelce melamar penyanyi itu

Pasangan ini mula berkenalan pada musim panas 2023 dan sejak itu, para peminat sudah menjangka lamaran rasmi daripada bintang American Football tersebut.

Pada Ogos 2024, khabar angin semakin hangat apabila penganalisis NFL, Adam Schefter, mengusik kemungkinan perkahwinan mereka dalam rancangan popular NFL Live.

Dalam episod berkenaan, hos Laura Rutledge menyentuh pembelian seekor kuda lumba oleh Kelce yang dinamakan sempena penyanyi itu.

“Bukan cincin pertunangan, tapi masih ada kaitan dengan Swift,” selorohnya.

Schefter kemudiannya mencetuskan tanda tanya apabila bertanya mengapa Rutledge yakin Kelce belum membeli cincin dan bagaimana dia mendapat maklumat itu.

Bagaimanapun hos tersebut enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, sumber kepada Page Six mendedahkan bahawa Kelce sudah merancang untuk melamar dan majlis pertunangan dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Tambah sumber itu, Kelce juga sudah mendapatkan restu daripada bapa Swift, Scott Swift, sejak Disember 2023.

“Scott sudah memberikan restu sepenuhnya dan Travis juga pernah berbincang dengan rakan-rakan mengenai cincin,” kata sumber berkenaan.

Percintaan Swift dan Kelce bermula selepas penyanyi itu berpisah dengan pelakon Joe Alwyn pada 2023, selepas lebih enam tahun bersama.

Ramai peminat percaya lagu-lagu dalam album terbarunya, The Tortured Poet’s Department, diinspirasikan daripada pengalaman hubungan tersebut, termasuk sebahagiannya tentang Kelce menerusi lagu So High School dan The Alchemy.

Kelce juga sebelum ini berpisah dengan kekasih lamanya, Kayla Nicole, sebelum bertemu Swift.

Difahamkan, bintang NFL itu pernah cuba memberikan nombornya kepada Swift ketika konsert jelajah Eras Tour pada Julai 2023, namun ditolak.

Namun, hubungan mereka mula rapat selepas itu dan kini mereka bersedia melangkah ke fasa seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN