Bukan kerana berapa besar bayaran tetapi keserasian - Dayang Nurfaizah - Utusan Malaysia

Bukan kerana berapa besar bayaran tetapi keserasian – Dayang Nurfaizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Bukan sekadar terkenal dengan vokal mantap, penyanyi tersohor Dayang Nurfaizah juga sinonim dengan sikap selektif dalam menerima sebarang tawaran kerjasama.

Menurut penyanyi kelahiran Sarawak itu, setiap projek yang disertai mesti seiring dengan prinsip dan gaya peribadinya.

“Sebelum bersetuju, saya perlu faham dahulu pendekatan mereka, kempen yang dibawa dan hala tuju kerja. Apabila semuanya jelas, barulah perbincangan dibuat,” katanya.

Namun, pendekatan itu sedikit berbeza apabila pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty menerima tawaran daripada Amber Eksklusif Casual Wear, jenama di bawah Usanita Sdn Bhd.

Tawaran tersebut hadir bersama pelancaran koleksi premium terbaharu, Somewhere Somehow Someone, yang menampilkan Dayang bersama Hael Husaini sebagai duta rasmi.

“Apabila mereka mendekati saya, saya fikir banyak kali juga. Tapi bila tengok rekaan, terus rasa kena dengan gaya saya.

“Mereka jelaskan ini koleksi ‘casual wear’, bukan pakaian pentas. Memang saya suka yang ringkas dan praktikal,” ujar penyanyi Lelaki Teragung itu.

Sementara itu, ditanya sama ada dia menerima tawaran ini kerana dibayar lumayan, Dayang tampil menafikannya.

“Setiap projek yang diterima bukan dinilai pada berapa besar bayaran, tetapi kesesuaian rekaan dengan diri saya.

“Kalau tak sesuai, saya tak akan buat walau bayarannya tinggi. Saya mesti rasa selesa dan ‘serasi’ dengan rekaan itu. Yang ini memang kena,” tegasnya.

Bagi Dayang, kerjasama ini bukan sekadar urusan komersial, malah satu bentuk sokongan terhadap bakat tempatan.

Ini salah satu sebab utama saya terima. Saya nampak jenama ini ada potensi besar. Mereka kreatif, tapi tetap tahu kekalkan identiti simple yang saya suka,” katanya.

Selain itu, faktor keserasian dengan pasukan turut memainkan peranan.

“Bekerja dengan orang yang kita kenal dan serasi memang memudahkan. Kita boleh berbual, cepat buat keputusan, dan kerja jadi lebih lancar. Kalau tak kenal, prosesnya mungkin lebih panjang,” katanya lagi.

Sementara itu, berkongsi mengenai penggambaran koleksi itu yang diadakan di
New Zealand, Dayang menganggap ia sebagai satu pengalaman pertama yang tidak akan dilupakan.

“Kami tak hanya di bandar, malah sampai ke kawasan pegunungan. Memang suasana dia lain.

“Kerja satu hari untuk semua baju, tapi alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Saya rasa seronok dan puas hati,” ujarnya.

Walaupun terbuka untuk mencuba sesuatu yang berbeza daripada kebiasaannya, Dayang tetap setia dengan prinsip sederhana yang menjadi identiti dirinya.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan, pemilihan Hael dan Dayang adalah tepat kerana kedua-duanya melambangkan keperibadian serta imej yang seiring dengan DNA Amber.

“Hael dan Dayang adalah cerminan sempurna kepada DNA Amber iaitu penuh gaya, berkarisma, dan memiliki pengaruh besar dalam membentuk aspirasi fesyen.

“Mereka bukan sekadar ikon hiburan, malah lambang kejayaan dan personaliti unggul yang seiring dengan visi kami untuk menjadikan Amber sinonim dengan fesyen kasual premium di Malaysia,” katanya.

Pelantikan Dayang juga katanya turut mencatat sejarah apabila buat julung kalinya penyanyi itu bersetuju menjadi wajah rasmi bagi sebuah produk tempatan.

“Dayang memilih untuk bersama Amber adalah satu penghormatan besar buat kami.

“Kepercayaannya terhadap jenama tempatan yang menepati standard antarabangsa membuktikan bahawa fesyen buatan Malaysia mampu berdiri setaraf jenama global,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN