Selain jaga disiplin, hormati juga pelakon senior - Fasha Sandha - Utusan Malaysia

Selain jaga disiplin, hormati juga pelakon senior – Fasha Sandha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Fasha Sandha menzahirkan pandangan bahawa pendatang baharu dalam industri seni wajar memiliki sikap hormat terhadap pelakon-pelakon senior selain mengutamakan disiplin sebagai teras utama dalam kerjaya lakonan mereka.

Menurut Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 41, hubungan akrab dengan golongan artis berpengalaman banyak membantu mematangkan dirinya dalam dunia lakonan yang penuh cabaran.

“Saya sendiri lebih senang berkawan dan menimba ilmu daripada artis-artis senior berbanding mereka yang sebaya atau lebih muda.

“Bagi saya, mereka inilah sumber inspirasi yang banyak membimbing saya menjadi pelakon yang lebih baik,” ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Bersama Yayasan Nurjiwa X Inayah Beauty yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, baru-baru ini.

Tambahnya lagi, pengalaman bergelar anak seni yang bermula sejak era sebelum kemunculan media sosial menjadikan hubungan antara pelakon lebih erat dan tulus.

“Zaman dahulu, kami tidak terlalu terdedah kepada media sosial. Justeru, hubungan yang terjalin lebih kepada nilai hormat dan keikhlasan.

“Alhamdulillah, hingga kini saya masih mengekalkan hubungan baik dengan artis-artis senior. Tanpa mereka, siapalah kami pelakon baharu,” katanya.

Selain itu, kata Fasha, disiplin dan komitmen merupakan kunci utama yang harus dipraktikkan oleh setiap pelakon yang ingin bertahan dalam industri.

“Sejak awal penglibatan saya dalam dunia lakonan, saya sangat menitikberatkan soal disiplin dan komitmen.

“Saya percaya, jika dua perkara ini dijaga, rezeki dan peluang tidak akan putus. Orang akan terus beri kita kepercayaan.

“Dulu lakonan saya mungkin masih ‘kayu’, tetapi apabila kita rajin dan berdisiplin, kita akan terus diberi peluang untuk belajar dan memperbaiki mutu lakonan,” jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Fasha turut berkongsi bahawa dirinya masih lagi menuntut ilmu lakonan secara berterusan demi meningkatkan kualiti persembahan di layar kaca.

“Hingga hari ini saya masih belajar, berguru dengan seniwati hebat Fauziah Nawi. Saya anggap itu sebagai salah satu bentuk penghargaan kepada mereka yang lebih berpengalaman.

“Jangan rasa diri sudah cukup hebat. Kita kena tahu di mana letaknya diri kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon berpengalaman itu turut menyifatkan kebanyakan pelakon generasi baharu kini menunjukkan tahap profesionalisme yang semakin baik, terutama ketika berada di set penggambaran.

“Berdasarkan pemerhatian saya, sekarang ini ramai pelakon baharu yang benar-benar serius dengan karier mereka. Mereka menepati waktu dan sentiasa bersedia untuk belajar.

“Sebagai pelakon senior, kita juga perlu menunjukkan contoh yang baik. Jangan sesekali buat mereka tertunggu-tunggu kita di set. Hormat itu harus datang dari kedua-dua belah pihak,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN