KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh media sosial, Betty Rahmad, mencuri perhatian ramai apabila melontarkan pertanyaan terbuka kepada pengikutnya mengenai trend merakam video sambil menangis yang semakin tular di media sosial.
Menerusi satu hantaran di Threads, Betty melayangkan pertanyaan tersebut yang mana menurut suaminya, perbuatan itu dianggap sekadar lakonan atau pun ‘Fake’.
“Suami saya cakap, orang yang boleh menangis sambil rekod adalah orang paling fake (paling palsu atau berlakon). Betul ke?”soalnya.
Bagaimanpun, Betty menjelaskan bahawa kenyataan suaminya itu merujuk kepada individu yang sengaja menangis sambil merakam video yang turut disertakan lagu-lagu galau (sedih) dan bukannya mereka yang sedang berkongsi kisah peribadi lalu menitiskan air mata secara spontan.
“Yang suami saya maksudkan adalah video menangis semata-mata disertakan lagu galau.
“Bukan yang sedang bercerita pastu menangis, itu lain situasinya,” tambah Betty.
Pelakon berusia 44 tahun itu turut menegaskan bahawa soalan tersebut sekadar perbualan santai antara dia dan suaminya dan dia sekadar ingin tahu pandangan pengikutnya.
“Ini hanya perbualan santai antara saya dan suami, terpulang kepada anda sama ada nak rekod atau tidak,” tulisnya lagi.
Perkongsian itu nyata mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Ada antaranya yang bersetuju dengan pandangan tersebut dan menganggap video sedemikian tidak wajar dikongsi kepada umum.
Bagaimanapun ada juga kalangan pengguna media sosial yang merasakan ia sebagai satu bentuk luahan emosi yang normal dalam dunia digital hari ini.