KUALA LUMPUR: Pempengaruh muda, Cess atau nama sebenarnya Qadejah El Zahra, yang juga anak kepada usahawan sensasi tanah air, Datuk Seri Aliff Syukri, mencetuskan pelbagai reaksi selepas tular video dirinya meminta jam tangan mewah berjenama Cartier daripada bapanya baru-baru ini.
Menerusi siaran langsung di media sosial,Cess secara terbuka meluahkan keinginan untuk memiliki jam tangan eksklusif itu sambil menyatakan bahawa permintaannya bukanlah satu kehendak kosong.
Kata Cesa, permintaan itu dilihat sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang.
“Sebenarnya tiada sebab khusus. Saya cuma lihat ramai orang buat konten minta hadiah daripada abah atau ahli keluarga.
“Jadi saya pun cuba, mana tahu dapat,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurut Cess, perbualan tersebut pada awalnya bersifat santai dan tidak dirancang.
Namun setelah melihat respon bapanya yang tidak menolak permintaan itu, dia nekad untuk terus mengingatkan dan memujuk agar hasratnya ditunaikan.
“Saya dah tanya abah (Datuk Seri Aliff) dalam live beberapa kali. Bila dia tak tolak, saya anggap itu sebagai ‘lampu hijau’. Lepas itu, bila dia sedang rakam video hujung minggu, saya cakap, ‘Jom pergi shopping’. Akhirnya kami betul-betul pergi.
“Bagi saya, Cartier ni, setiap tahun atau lima hingga tujuh bulan pun harga boleh naik. Jadi kenapa tidak beli? Saya rasa jam seperti ini bukan sekadar aksesori, tapi satu aset,” jelasnya.
Tambahnya, walaupun ramai yang melihat gaya hidup mewah sebagai ‘high maintenance’, Cess berpendapat tidak ada salahnya seseorang itu menghargai diri sendiri.
“High maintenance itu bukan sesuatu yang memalukan. Ia menunjukkan kita tahu nilai diri kita. Kalau kita mampu, apa salahnya?
“Apa yang penting, kita tahu apa yang kita buat. Dan kalau ia boleh beri inspirasi kepada orang lain untuk lebih menghargai diri, kenapa tidak?” ujarnya.