Mahu hargai tokoh lagenda tanah air, Henry Golding pilih nama Tuah - Utusan Malaysia

Mahu hargai tokoh lagenda tanah air, Henry Golding pilih nama Tuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Aktor kelahiran Malaysia yang kini mencipta nama di Hollywood, Henry Golding, mendedahkan keputusannya memilih nama ‘Tuah’ untuk wataknya dalam filem The Old Guard 2 dibuat kerana mahu menghargai budaya dan sejarah tanah air.

Henry yang sebelum ini dikenali menerusi filem Crazy Rich Asians dan Snake Eyes, berkongsi bahawa dia bersama pengarah filem, Victoria Mahoney, telah mencapai kata sepakat memilih nama tersebut setelah meneliti beberapa pilihan lain.

“Victoria datang kepada saya dengan beberapa pilihan nama, dan antara yang disebutnya ialah ‘Tuah’. Sebaik sahaja saya dengar nama itu, saya terus terfikir tentang Hang Tuah, tokoh legenda dalam sejarah dan cerita rakyat Malaysia.

“Nama itu mempunyai kekuatan dan warisan yang luar biasa. Dalam konteks filem ini, yang berkisarkan tentang sekumpulan pahlawan abadi yang merentas zaman dan benua, saya fikir penggunaan nama Tuah sangat sesuai.

“Ia membawa erti keabadian, keberanian dan kesetiaan, nilai-nilai yang sangat sinonim dengan Hang Tuah sendiri. Saya terus cakap, ‘Itu dia, itu nama yang kita cari. Watak ini mesti dinamakan Tuah,”katanya dalam satu temu bual dengan media antarabangsa.

Henry turut menekankan bahawa watak Tuah bukan sekadar memakai nama Melayu, malah dihidupkan dengan unsur budaya Malaysia secara lebih mendalam.

“Kami mahu watak ini mencerminkan lebih daripada sekadar nama. Kami bawa masuk elemen pencak silat, seni bela diri tradisional yang sangat dikenali di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Senjatanya, keris, adalah simbolik kepada budaya dan sejarah bangsa kita. Bahkan gaya bertarungnya pun diinspirasikan oleh gerakan silat,” katanya lagi.

Tambahnya, kesediaan pengarah Victoria Mahoney untuk mendengar dan menggabungkan unsur budaya Malaysia merupakan satu pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya sebagai anak seni.

“Saya sangat bersyukur kerana Victoria benar-benar terbuka dalam proses kolaborasi ini. Dia mahu watak ini dekat dengan saya, dan saya rasa inilah peluang terbaik untuk membawa sedikit ‘jiwa Malaysia’ ke layar antarabangsa.

“Ia bukan sahaja menjadikan watak Tuah lebih autentik, malah satu bentuk penghormatan kepada akar budaya saya sendiri,” katanya.

Menerusi The Old Guard 2, watak Tuah digambarkan sebagai seorang tokoh bijaksana, pendiam tetapi tangkas apabila diperlukan.

Ujar Henry lagi, meskipun bukan karakter utama dalam barisan aksi, Tuah tetap diberi ruang untuk menonjolkan kemahiran bertarungnya melalui babak-babak pertarungan yang dikoreografikan dengan penuh teliti.

“Tuah bukan jenis yang banyak cakap atau suka menonjol. Tapi bila tiba waktunya, dia tahu bagaimana hendak bertindak.

“Saya gembira kerana dalam filem ini, kami masih sempat masukkan beberapa adegan aksi buat watak Tuah. Memang saya harap dapat lebih banyak aksi, mungkin dalam filem seterusnya,” ujarnya.

The Old Guard 2 yang kini dipaparkan di saluran Netflix merupakan sekuel kepada filem asal terbitan 2020.

Ia dibarisi oleh pelakon terkenal seperti Charlize Theron, KiKi Layne dan Matthias Schoenaerts.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN