Dipilih jadi wajah kempen, Syed Saddiq terus komited jaga kebajikan rakyat Muar - Utusan Malaysia

Dipilih jadi wajah kempen, Syed Saddiq terus komited jaga kebajikan rakyat Muar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Setiap satu sen yang saya terima daripada menjadi wajah kempen atau duta, saya akan salurkan terus kepada Pusat Kebajikan di Muar.”

Demikian kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang kekal dengan prinsipnya untuk menyalurkan kesemua hasil bayaran daripada kontrak sebagai model dan wajah kempen kepada Pusat Kebajikan Rakyat Muar.

Kata Saddiq, dia akan tetap terus melakukan perkara itu selagi menerima sebarang tawaran demi menjaga kebajikan rakyat Muar.

“Saya akan serahkan 100 peratus ke pusat kebajikan untuk membantu rakyat Muar. Sedikit atau banyak jumlah itu saya lakukannya dengan niat untuk kebajikan. Itu adalah fokus utama saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk baharu Wawa Global New Chapter, hari ini.

Dalam masa sama, ahli parlimen yang berusia 32 tahun itu juga memaklumkan sekiranya kontrak atau perjanjian itu melibatkan sebarang agensi, dia perlu menjalani beberapa proses lain.

“Perkara itu akan sentiasa diletakkan dalam kontrak yang saya bakal bekerjasama. Sekiranya ada jenama yang tidak membenarkan kerana melibatkan beberapa agensi dan tidak boleh diumumkan, kita perlu maklumkan jenis bantuan yang hendak disampaikan,” jelasnya.

Kini menjadi wajah kempen jenama tempatan Wawa Global, Saddiq juga mengakui dirinya pernah beberapa kali menolak tawaran yang dirasakan tidak bersesuaian kerana menitikberatkan soal mutu produk meskipun tawarannya lumayan.

“Banyak juga tawaran yang saya tolak kerana kita perlu ambil kira soal kesesuaian. Dalam hal ini, saya boleh kongsikan bahawa jenama ini memang sesuai kerana produk tempatan dan berjaya.

“Itu adalah jenama yang saya rasa berpatutan dan produknya juga mudah untuk saya pasarkan, lebih-lebih lagi kerana saya sendiri memang seorang yang suka bersukan.

“Ada juga tawaran yang saya tolak atas sebab tertentu kerana saya percaya bahawa kita semua kena menjaga imej masing-masing.

“Saya sendiri seorang penggubal dasar. Maka, sebagai penggubal dasar, satu keutamaan perlu diberikan kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu,” ujarnya.

Selain Syed Saddiq, pengasas Wawa Global iaitu Wawa Zainal dan Aeril Zafrel turut memilih usahawan Umisya Mazlan dan Aslam sebagai barisan hadapan kempen produk mereka kali ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN