Aruel& The Fasola kembali menghiburkan peminat menerusi ‘showcase’ Malam Pesta Ronggeng yang akan dipentaskan di Saloma Kuala Lumpur, selama dua malam, bermula 15 Ogos ini.
Membawa konsep penuh nostalgia, acara anjuran HS Event & Entertainment ini dijangka menjadi malam istimewa yang menyatukan generasi lama dan baharu melalui alunan muzik klasik yang segar.
Menerusi vokalis kumpulan itu, Aruel atau nama sebenar, Mohd Khairul Nizam Kamarozaman, 39, Malam Pesta Ronggeng bukanlah suatu pesta tidak bermoral atau mempunyai unsur yang negatif, malah konsep persembahan yang dibawa adalah berbentuk hiburan keluarga dan tidak mengandungi elemen yang melampaui batas.
“Kami, Aruel & The FasoLa, mula aktif membuat persembahan sejak 2022 hanya secara ‘private’ dan ‘underground’. Namun, kini dengan sokongan ramai dan peluang besar ini, kami sangat terharu.
Bukan sekadar malam biasa, mereka juga bakal membawakan lagu-lagu nostalgia era 40-an hingga 60-an, terutamanya karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Saloma, yang diiringi oleh 10 pemuzik termasuk penyanyi latar.
“Kami bawakan gubahan muzik dengan gabungan elemen klasik dan moden agar lebih segar untuk didengar semua tetamu. Ia bukan sahaja mengekalkan keaslian karya lama tetapi turut memberi sentuhan baharu supaya relevan kepada generasi masa kini,” katanya.
Sementara itu, penganjur Datin Riza Che Umar berkata, Malam Pesta Ronggeng ini diharapkan bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menjadi platform untuk memperkenalkan semula keindahan muzik klasik dan tradisi tari menari kepada generasi muda.
Jadi untuk sesiapa yang berminat atau bagi sebarang pembelian tiket serta meja, sila hubungi, Sni di talian 012-6624079, Hatta: 018-2239934 dan Joe: 017-4705455.