KUALA LUMPUR : Biduanita tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 46, menuai perhatian ramai apabila dia mengakui, aksesori kepala yang digayakannya dalam sebuah segmen di konsertnya baru-baru ini, hanya dibeli di platform Tiktok.
Menurut Siti, aksesori itu dibeli pada harga yang sangat murah namun cantik di matanya.
“Saya ada beli aksesori kepala di Tiktok. Yang itu menarik juga. Yang saya pakai semasa di konsert, di segmen terakhir pada hari pertama buat persembahan konsert baru-baru ini.
“Aksesori itu ada bulu-bulu di bahagian tepinya, yang itu saya hanya beli di Tiktok, murah gila tapi cantik dan saya suka!”katanya dalam satu sesi siaran live di Tiktok.
Perkara itu kemudiannya menjadi bahan bualan ramai yang tidak menyangka penyanyi nombor satu negara juga ‘terjebak’ membeli barangan secara atas talian walaupun pada harga yang murah.
Malah, perkara itu pernah ‘dibocorkan’ oleh menantunya, pelakon, Izzara Aisyah baru-baru ini di media sosial.
Menurut Izzara, ibu mentuanya itu mudah terpengaruh ketika menonton sesi siaran langsung di TikTok, malah kerap membeli barangan yang kurang berfaedah di aplikasi tersebut.
“Semua barang-barang merepek dia beli. Stokin, pemutih ketiak, semualah yang mengarut. Dia cepat teracun.
“Kalau mahu racun orang, Mak Iti itu senang sangat nak suruh dia beli barang mengarut.
“Dia tengah ‘scroll’ untuk membeli sebenarnya. Saya bocorkan rahsia,” usiknya ketika sibuk mempromosikan tudung keluarannya baru-baru ini.