PUTRAJAYA: Sebanyak 14 kementerian dikenal pasti tidak berjaya mencapai sasaran dalam pelaksanaan pembangunan projek fizikal yang diperuntukkan pada tahun lalu.
Status perbelanjaan pembangunan projek-projek di bawah kementerian-kementerian itu adalah mencatat 87.91 peratus iaitu berada di bawah purata nasional.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, ia melibatkan projek-projek asas kerajaan dan bersifat rakyat seperti pembinaan dan baik pulih infrastruktur jalan raya, sekolah, klinik dan hospital.
Beliau menegaskan, kesemua Ketua Setiausaha (KSU) kementerian-kementerian berkenaan akan dipanggil dan akan memberi kesan kepada penilaian prestasi demerit (DEEP).
“Semua 14 KSU kementerian ini saya akan panggil dan dia akan beri kesan kepada penilaian prestasi DEEP.
“Projek-projek ini dibuat tapi berjalan perlahan, sebab itu ia mencapai 87 peratus sahaja. Duit (peruntukan) ini kita beri tapi tak pakai, jadi rugi lah. Sepatutnya duit itu kita boleh memanfaatkan untuk benda lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat Ketua Setiausaha Negara 2026, di sini semalam.
Terdahulu, dalam ucapannya, Shamsul Azri berkata, sebanyak 9,578 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan peruntukan RM83.06 bilion dan prestasi perbelanjaan RM81.67 bilion setakat 22 Disember lalu.
Katanya, ini menyaksikan purata nasional prestasi perbelanjaan bagi projek pembangunan ialah 98.33 peratus.
“Walau bagaimanapun, jika dilihat pencapaian perbelanjaan pembangunan asas, kita hanya mencapai purata nasional 87.91 peratus dan masih terdapat 14 kementerian yang berada di bawah purata nasional dan perkara ini perlu diberi perhatian serius.
“Ingin saya tegaskan bahawa perkara ini akan dinilai di dalam DEEP kepada semua pegawai pengawal,” katanya.
Shamsul Azri juga mendedahkan, sejumlah 46 peratus daripada rakyat tidak mengetahui segala inisiatif kerajaan walaupun selama tiga tahun pentadbiran Kerajaan Madani.
Beliau berkata, ia menunjukkan strategi komunikasi kerajaan adalah lemah dan perlu ditambah baik agar setiap inisiatif yang dilakukan benar-benar sampai, difahami dan diketahui rakyat.
Katanya, isu komunikasi turut diberi perhatian serius kepimpinan tertinggi negara ketika sesi Pemukiman Jemaah Menteri 2026 pada 10 hingga 11 Januari lalu selain mahukan pelaksanaan pantas, disusuli dengan tindakan tegas susulan dan
ikuti rapat setiap pelaksanaan projek secara konsisten.
“Kerajaan buat banyak inisiatif tapi rakyat tak tahu. Contohnya masa kita buat ulang tahun ketiga Kerajaan Madani, kita bersemuka (tanya rakyat) yang hadir. Sebanyak 46 peratus kata tidak sedar pun dengan inisiatif kerajaan walaupun tiga tahun kita dah buat,” katanya. – UTUSAN










