PETALING JAYA: Kumpulan idol popular Jepun, AKB48, melancarkan ujibakat generasi kedua untuk kumpulan adik mereka di Malaysia, KLP48, menerusi program “BLOOM”.
Ujibakat ini dibuka kepada semua gadis berumur 13 hingga 23 tahun tanpa mengira warganegara. Permohonan boleh dibuat dari 1 Julai hingga 1 Ogos 2025 menerusi klp48audition.com dengan penghantaran video nyanyian atau tarian berdurasi maksimum 90 saat, berserta maklumat dan dokumen peribadi.
Calon yang layak akan dipanggil ke sesi saringan bersemuka di Kuala Lumpur pada 23 dan 24 Ogos. Mereka yang berjaya akan ke pusingan akhir pada 6 dan 7 September. Pemohon bawah umur 18 tahun perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa atau penjaga.
KLP48 ditubuhkan tahun lalu dan merupakan kumpulan adik ke-10 AKB48 di luar Jepun. Mereka diuruskan oleh 48 Entertainment Sdn Bhd dengan kebenaran rasmi daripada pemegang lesen, Superball Co Ltd.
Kumpulan ini menyertai rangkaian idol lain seperti JKT48 (Jakarta), BNK48 (Bangkok), MNL48 (Manila), serta beberapa lagi di bandar utama Asia.
“Kami amat teruja untuk memulakan pencarian ahli generasi kedua yang akan terus mencorakkan masa depan KLP48 dan meneruskan legasi AKB48. Kepada semua yang ingin mencuba, kami ucapkan semoga berjaya dan terus berusaha!” kata Pengarah 48 Entertainment, Yip Jun Huei.
Orang ramai digalakkan mencalonkan individu berbakat dan mengikuti perkembangan KLP48 menerusi TikTok (@klp48_official), Instagram dan Facebook (@KLP48official).