Mesra semeja perkemas kerjasama BN-PH Terengganu

Mesra semeja perkemas kerjasama BN-PH Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA parti dominan yang mewarnai politik Terengganu sejak sekian lama adalah UMNO dan Pas. Justeru itu, kehadiran Pakatan Harapan (PH) yang kini bergabung dengan Barisan Nasional (BN) dilihat kurang berpengaruh di negeri berpopulasi kira-kira 1.3 juta orang ini.

Maka tidak hairan kerjasama yang terbentuk antara BN dan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 2023 longgar dan goyah. Situasi itu dikatakan masih berlaku.

Hubungan antara pemim­pin PH dan BN di Terengganu tidak rapat walaupun bersama-sama menubuhkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

Perkara berkenaan diakui sen­diri oleh Pengerusi PH Te­reng­ganu, Hasbie Muda yang menyifatkan jentera kedua-dua gabungan gagal disusun sehingga tewas teruk pada PRN 2023.

Namun sejak akhir-akhir ini, BN dan PH dilihat berusaha memantapkan hubungan dan kerjasama dalam perjalanan mereka menuju PRN akan datang.

Usaha terbaharu adalah menerusi program Mesra Semeja anjuran Pertubuhan Muafakat Terengganu Baharu (Muafakat) di Kuala Terengganu, Jumaat lalu. Ia adalah usaha membawa pe­mim­pin dua-dua gabungan duduk semeja dalam majlis terbuka dan ia menjadi kenyataan dengan kehadiran wakil PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan UMNO.

Muafakat adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang peka terhadap isu-isu semasa negara khususnya melibatkan politik, pentadbiran dan kebajikan.

Hasil pertemuan itu terbit syor supaya sebuah sekretariat bersama antara PH dan Bari­san Nasional (BN) Terengganu ditubuhkan supaya parti-parti dalam kedua-dua gabungan po­litik itu bergerak sebagai satu pasukan menghadapi pilihan raya akan datang.

Ia berasaskan keperluan mem­perkasa kerjasama antara UMNO, PKR dan Amanah supaya bergerak bersama mencapai misi kemenangan dalam pilihan raya umum.

Dengan baki penggal pilihan raya lalu semakin menghampiri penghujungnya, penubuhan se­k­retariat itu perlu disegerakan bagi menyelaras dasar, program dan aktiviti dari peringkat pa­ling atas sehingga ke peringkat akar umbi, khususnya jentera Pusat Daerah Mengundi.

Ia juga bagi mengelakkan timbul masalah pengagihan kerusi jika ketiga-tiga parti ini terus membawa ‘haluan sendiri’ tanpa penyelarasan di setiap peringkat walaupun di bawah satu kerajaan di peringkat Persekutuan. Ia bukan masalah baharu kerana pe­ngalaman PRN 2023 menyaksikan kira-kira sebulan sebelum itu, pengagihan kerusi antara BN dan PH tidak ketentuan.

Jika ingin memecah tembok tebal yang dibina Perikatan Nasional khususnya Pas di Terengganu, perkara seperti itu tidak seharusnya berulang. Dalam ke­adaan sekarang iaitu tanpa sebarang kerusi, BN Terengganu perlu mengambil semua pendekatan dan jalan yang ada untuk memberi tentangan terhadap PN.

Ia termasuk ­memperkemas kerjasama bersama PKR dan Amanah dengan bersikap me­ren­dah diri duduk semeja me­nyu­sun strategi, walaupun UMNO lebih dominan ­berban­ding sekutunya itu di Terengganu. Program seperti Mesra Semeja Jumaat lalu seharusnya membuka jalan ke arah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN