Kalau diikutkan, memang sukar untuk Cik Bunga menidakkan pandangan sesetengah warganet mahu pun peminat industri seni tanah air mengenai satu tanggapan terhadap penyanyi, Wani Kayrie.
Ia adalah tentang bagaimana segala usaha Wani untuk dikenali dan popular dalam industri muzik tetapi tidak dihargai.
Cik Bunga secara peribadi pun ada saja terdengar orang belakang tabir bercakap mengenai hal ini dan tidak kurang juga ada yang menyindir Wani sebagai artis sendu, artis gred itu gred ini, pendek kata, macam-macamlah.
Tetapi kita jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata itu. Sekarang, kita tengok apa agaknya yang boleh dilakukan oleh Wani untun melonjakkan namanya dalam industri terutama setelah bertahun-tahun lamanya mencuba menjadi anak seni.
Cik Bunga lihat, Wani bukan tidak ada bakat. Ada. Menyanyi pun sedap, tidak macam ada seorang individu itu yang mengaku penyanyilah tetapi suara out, entah ke mana hala.
Jadi, apa kurangnya Wani? Lalu, adalah yang bisik-bisik dengan Cik Bunga, kononnya Wani ini satu saja yang tidak ada, iaitu cerita kontroversi. Dia bukan tidak bakat, malah berpelajaran tinggi.
Cuma dari segi kontroversi, memang tidak ada sangat. Maka itu dijadikan ukuran kononnya mengapa dia tidak popular sampai sekarang.
Lagu terbaharu, Cak Cak Cekuk itu pun tidak naik sangat dan Cik Bunga sudah dengar, sedap sahaja lagu itu.
Adalah sumber Cik Bunga beritahu, bukan tidak ada orang dalam industri hiburan ini yang nasihatkannya untuk buat kontroversi.
Tetapi dia sendiri yang pilih untuk tidak mahu begitu. Mahu imejnya bersih dan tidak tercela dengan kisah merapu.
Paling hangat pun, kisah dia dengan Afieq Syazwan sebelum inilah yang dikatakan bercinta.
Tetapi, itu itu sahajalah orang pun sudah tidak peduli. Jadi, apa pendapat Wani? Betulkah kena ada kontroversi?