KUALA LUMPUR : Menepis tanggapan negatif segelintir warganet,pengasas Finura, Nurulain Md Yusof, yakin tindakan penyanyi dan bekas anggota kumpulan Dolla,Syasya, berimej muslimah kini adalah kerana keikhlasannya sendiri.
Sehubungan itu, kata Nurulain, ia juga menidakkan dakwaan segelintir pihak bahawa penyanyi tersebut menggenakan hijab kini kononnya kerana ingin diambil sebagai duta syarikat tudung sepertinya.
“Syasya hijrah secara ikhlas tanpa paksaan mana-mana pihak. Disebabkan itu Finura juga memilih Syasya sebagai duta mereka.
“Harapan saya bukan sahaja untuk Finura malah buat Syasya, saya mahu peminat melihat perubahan hijrah Syasya sebagai satu perkara positif bukan disebabkan dia berhijab dapat jadi duta.
“Saya harap kehadiran dia dalam keluarga Finura dapat meningkatkan keyakinan Syasya dalam bertudung,”katanya.
Terdahulu, Finura, jenama fesyen tudung yang semakin dikenali mengumumkan pelantikan penyanyi Syasya Rizal yang juga bekas ahli kumpulan Dolla sebagai duta rasmi mereka.
Pelantikan ini menandakan kerjasama strategik antara Syasya dan Finura dalam menampilkan rekaan tudung moden, selesa dan eksklusif untuk wanita muslimah masa kini.
Dalam pada itu, kata Nurulain, pemilihan Syasya sebagai duta adalah sangat tepat dalam memacu jenama Finura untuk lebih barjaya di masa hadapan.
“Syarikat memang sedang mencari seorang duta, jadi satu hari saya terlihat video Syasya di TikTok yang mengenakan tudung bawal dan saya terus rasa dia sangat sesuai untuk menjadi duta Finura.
“Jadi daripada situ saya rasa pemilihan Syasya sebagai duta adalah keputusan yang tepat dalam memberi impak positif buat Finura,” katanya.
Berkongsi lanjut, Nurulain memberitahu Finura sudah ada rancangan bersama Syasya selama satu tahun kontrak mereka berjalan.
Malah Finura memberikan kebebasan buat Syasya untuk menghasilkan sendiri rekaan serta warna tudung yang dimahukan sepanjang menjadi duta.
“Dalam satu tahun, Finura sememangnya sudah merancang untuk mengeluarkan dua koleksi baharu setiap bulan.
“Koleksi-koleksi itu kami beri kebebasan buat Syasya untuk pilih seperti warna dan corak yang dia inginkan.
“Kami berikan dia kebebasan supaya dia bebas meneroka keselesaan dalam memakai tudung dan buatkan perjalanan hijrahnya semakin baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nurulain berharap kerjasama yang dilaksanakan ini memberi impak positif buat kedua-dua belah pihak.
Koleksi pertama kolaborasi Finura bersama Syasya diberi nama The First Bloom akan dilancarkan menerusi sesi siaran langsung di TikTok jenama itu pukul 9 malam pada 17 Jun ini.
Konsep tersebut diinspirasikan daripada perjalanan hijrah Syasya yang menggambarkan kekuatan dalam kelembutan serta keindahan seorang wanita yang sedang melangkah ke fasa baru dalam hidup.