KUALA LUMPUR : Pelakon dan pengacara popular, Scha Al-Yahya menegaskan, dia bukan seorang individu yang gemar mencurahkan segala emosi di media sosial terutama apabila sedang berada dalam emosi kemarahan.
Dalam satu perkongsian video yang tular di Tiktok, Scha menyatakan, dia tidak pernah membuka ruang untuk orang luar mengetahui emosinya secara terang-terangan terutama ketika sedang marah.
“Saya tak akan buka ruang untuk orang tahu yang saya marah. Sebab ia sesuatu yang sangat buruk. Hanya kerana awak ada media sosial, tak bermaksud awak perlu beritahu semua benda kepada semua orang,” katanya.
Scha berkongsi perkara itu menerusi satu program bual bicara Wardah Heart to Heart with Dayah Bakar di saluran Youtube baru-baru ini.
Selain itu, kongsi Scha, pendekatan tersebut telah dipupuk sejak kecil oleh ibunya yang sentiasa berpesan agar menjadi insan yang baik dan tidak mudah melatah dengan situasi.
“Ibu selalu ingatkan, selalu menjadi baik. Adik kena jadi baik. Dia punya pendekatan dalam hidup semuanya okey. Jadi memang dalam hidup saya, itulah yang saya bawa.
“Kadang-kadang pendekatan seperti itu sesuai dan kadang-kadang ia tak sesuai. Tetapi pada akhirnya, saya okey semula.
“Bagi saya, itu adalah karakter atau peribadi mak saya yang ada dalam diri saya,” katanya.
Mengimbas latar belakang keluarga, Scha berkata dirinya cenderung mengamalkan sikap rasional yang diwarisi daripada bapanya.
“Bapa saya seorang yang rasional, manakala ibu saya beremosi sikit. Jadi ya, walaupun saya rapat dengan mak saya, tapi perasaan rasional itu lebih daripada saya punya emosi.
“Jadi kalau saya nak marah, saya tak marah. Ya saya marah, malah saya seorang yang sangat panas baran.
“Tapi saya tak akan tunjuk kepada orang lain, terutamanya di media sosial,” katanya.