KUALA LUMPUR : Pempengaruh terkenal, Haliza Maysuri,47, mengakui telah menghasilkan sehelai tudung bawal secara eksklusif yang bernilai RM70,000 sebagai simbolik kemenangan samannya terhadap dakwaan fitnah dan kenyataan berniat jahat di media sosial.
Menurut Haliza, penghasilan tudung itu umpama menjulang jenama Bawal Exclusive selepas episod fitnah yang disebarkan oleh seorang bekas pengedar tudungnya.
“Disebabkan kami menang saman semalam saya arahkan kilang buat tudung bernilai RM70,000 yang saya pakai hari ini.
“Saya bukan nak menipu tapi ini semata-mata untuk julang nama BE semula. Maruah saya tak boleh dibayar dengan wang ringgit,” katanya.
Haliza selaku Pengasas dan Pengarah Pemasaran Bawal Exclusive berkata demikian di sidang media di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir adalah Mohd Rosli Awang selaku Pengarah Urusan Bawal Exclusive dan Datuk Adnan Seman yang mewakili firma guaman Adnan Sharida & Associates.
Selain itu, jelas Haliza, dia perlu mempertahankan jenama tersebut terutama setelah 27 tahun berjuang membina jenama itu.
Justeru, katanya, tindakan saman dilakukan untuk memberi pengajaran kepada supaya mana-mana pihak tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah.
“Saya dan suami bina jenama ini daripada sewa bilik kecil ketika itu tiada ratusan pekerja, tiada modal dan pendidikan serta tiada peguam yang jaga.
“BE dibina dengan jerit payah kami dan peluh kami. Saya nak beri amaran jangan main-main dengan jenama saya. BE tidak sama dengan jenama lain,” ujarnya.
Tambahnya lagi, rakyat Malaysia sepatutnya bangga dengan kejayaan yang dibina oleh jenama BE kerana mampu menjalinkan hubungan baik dengan syarikat luar negara.
“Jenama ini dibina dengan peluh air mata, dengan kesusahan tiada modal dan pendidikan tapi rakyat Malaysia perlu berbangga dengan kejayaan kami.
“Jenama swarovski mencari kami dan meletakkan kami sebagai branding rakan kongsi sehingga kami menjadi 10 teratas di syarikat itu,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kota Bharu telah memerintahkan seorang bekas pengedar Bawal Exclusive Sdn Bhd, Rosmaliza Mansor, membayar ganti rugi sebanyak RM70,000 kepada syarikat itu serta dua lagi pihak atas dakwaan fitnah dan kenyataan berniat jahat di media sosial.
Bawal Exclusive bersama Bawal Sdn. Bhd. dan pengasasnya, Haliza Maysuri, memfailkan saman pada 18 Oktober 2024 berhubung satu hantaran di Facebook Rosmaliza yang didakwa memperlekeh usaha pemasaran produk mereka di TikTok.
Selain bayaran ganti rugi, Rosmaliza turut diarahkan membayar RM570 kepada Bawal Sdn. Bhd. atas satu invois tertunggak.