KUALA LUMPUR : Pelakon, Iqram Dinzly,mengakui tidak pernah menyesali menjalin hubungan dengan bekas teman wanita terdahulu meskipun kini mereka sudah mendirikan rumah tangga.
Menurut Iqram, kehadiran mereka yang dianggap sebagai peneman dan kawan ketika itu baginya telah memberikan impak besar dalam hidup secara tidak langsung.
Bagaimanapun, dia menolak andaian bahawa setelah terputus hubungan, ia menjadi punca kepada perubahan dirinya sebelum ini.
“Tidaklah, siapa kata saya gagal (dalam hubungan). Saya bersyukur setiap insan yang hadir dalam hidup saya, sebenarnya mereka memberikan kesan yang sangat tinggi.
“Pertama, kedua, ketiga. Walau sekadar berkawan, tetapi mereka adalah insan yang telah Allah piluh untuk berkawan dengan saya. Mereka berikan impak besar dalam hidup saya.
“Tanpa adanya peneman dalam hidup saya ketika itu, saya rasa, diri saya lebih liar. Liar macam mana biarlah rahsia,”katanya.
Iqram berkata demikian dalam satu perkongsian di ruangan podcast, Bukak Mulut, yang bersiaran, semalam.
Selain itu, pelakon ini berkata, soal kahwin juga bukan tidak pernah diinginkan, tetapi hasratnya kini adalah dalam memberi kebahagiaan kepada ibunya, Lalitol Akmar Mohamed Shaffie, 75.
“Tipulah ( jika tak mahu kahwin). Apabila tengok sahabat-sahabat semua ada yang sudah beranak pinak, dah ada zuriat dan ada antara anak mereka sudah besar dah pun.
“Banyak yang saya tengok, anak-anak mereka cerdik-cerdik dan ada X Factor itu. Alhamdulillah mereka pun jadi ibu bapa yang berkredibiliti. Bila tengok mereka, tipula kalau saya pun tak nak ada isteri cantik dan ada zuriat.
“Cuma bagi saya, biarlah saya berikan kebahagiaan dahulu kepada ibu. Selagi saya tak berikan walau itu semua atas izin Allah, saya sanggup korbankan dahulu (soal kahwin),”katanya.