KUALA LUMPUR : Pempengaruh popular, Ameera Khan, berdepan dengan kecaman daripada warganet gara-gara dirinya tidak mengaku berbangsa Melayu.
Kenyataan itu dibuat adik kepada pelakon dan selebriti usahawan terkemuka tanah air, Noor Neelofa ketika bersiaran langsung di media sosial kelmarin sehingga mencetuskan perdebatan di kalangan warganet.
“Saya bukan tak nak mengaku berbangsa Melayu, memang ibu dan ayah saya tidak mempunyai darah Melayu. Jadi nak mengaku Melayu buat apa?
“Saya tidak memiliki darah campuran Melayu. Ibu saya berdarah Arab, ayah saya berdarah Pakistan, tak ada darah Melayu,” tegasnya.
Bagaimanapun, kata Ameera, memandangkan dia dilahirkan di Malaysia dan membesar di sini, seharusnya dia perlu tahu dan fasih berbahasa Melayu sebagaimana rakyat lain.
“Saya lahir dan membesar di sini, bolehlah cakap Melayu. Kalau tak boleh itu, awak boleh tampar muka saya. Saya boleh cakap bahasa Melayu terutamanya dialek Kelantan.
“Bagaimana ibu dan keluarganya bermastautin di Kelantan, saya tahu ceritanya tetapi saya tak ingat dah. Datuk saya pernah ceritakan kepada saya. Hal ini kena tanya pada ibu saya,”katanya.
Ameera juga berkata, dia setiap kali terpaksa mengiyakan pertanyaan adakah dia berbangsa Melayu kerana tidak mahu memanjangkan isu.
“Apabila orang tanya Melayu ke tak, saya cakap sajalah Melayu sebab senang. Kalau tak cakap begitu nanti orang kata tak sedar diri, orang Kelantan tetapi tak mengaku Melayu.
“Bukan tak nak mengaku, memang ibu ayah saya tiada darah Melayu,”katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya warganet mengenai teman lelakinya, pelakon Indonesia, Jefri Nichol, Ameera mengakui kekasihnya itu seorang yang melucukan.
“Dia pandai buat lawak sebenarnya. Dia seorang yang menyeronokkan dan saya mencintai dirinya,”ujarnya.