GOMBAK: Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap bekas pemimpin serta pegawai tertinggi kerajaan termasuk bergelar Tan Sri yang terlibat rasuah dan salah guna kuasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip integriti dan keadilan bagi memastikan negara dapat dibersihkan daripada segala bentuk penipuan dan rompakan harta rakyat.
“Perkara ini merupakan sesuatu perkara yang jarang berlaku ketika pemerintahan sebelum ini dan kita lakukan selepas ambil alih kerajaan.
“Tindakan tegas terhadap pemimpin serta individu atau pegawai tinggi kerajaan yang menyalahgunakan kuasa dan menyakau harta negara akan terus dilaksanakan sehingga kerajaan yakin negara kembali berada di landasan yang betul,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Selangor di sini semalam.
Anwar mengakui pendekatan itu menghadapi cabaran dan risiko termasuk tekanan politik termasuk serangan politik dan cubaan memutarbelit fakta bagi melemahkan keyakinan rakyat.
“Berapa lama rakyat mahu ditipu dengan janji-janji palsu? Mereka yang kononnya jadi juara kaum, tetapi apabila disemak, ada akaun berbilion ringgit. Itulah sebab mereka takut dengan kita.
“Namun apa yang penting ialah mandat rakyat untuk membela nasib rakyat dan memastikan negara berada di landasan betul,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menangkap dan memenjarakan mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan negara.
Beliau berkata, setiap individu tidak boleh bertindak seolah-olah mereka adalah hakim atau polis.
“Nak beri pandangan boleh, nak kritik pun boleh. Tetapi jika kamu ganggu keselamatan negara atau cuba mencabar undang-undang, saya akan ambil tindakan maksimum.
“Tangkap mereka dan humban mereka ke dalam penjara.
“Usaha dakwah atau pembinaan rumah ibadat boleh dilakukan mengikut saluran yang betul, tetapi tidak boleh disertai unsur hasutan kebencian terhadap kaum atau agama lain,” katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, mana-mana pemimpin dan ahlinya yang hanya tahu berleter dan merengek tidak mempunyai ruang dalam parti.
“Mandat ini adalah amanah untuk mereka yang bekerja untuk membina dan mengukuhkan parti.
“Kalau tidak mahu bekerja sila keluar, kalau sanggup bekerja boleh kekal,” katanya.-UTUSAN









