PETALING JAYA: Satu pertemuan khas melibatkan Ahli Parlimen, Senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka berlangsung malam ini bagi membincangkan kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Presiden.
Menurut sumber, pertemuan itu bertujuan memberi penjelasan mengenai perkembangan dalaman parti termasuk memorandum yang dikemukakan oleh beberapa bahagian berhubung kedudukan Hamzah.
Kata seorang pemimpin Bersatu, kira-kira 90 pemimpin yang terdiri daripada semua wakil rakyat Bersatu dijangka berhimpun di kediaman Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Sejak semalam, semua ketua penerangan dan ketua-ketua bahagian telah dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Tan Sri Muhyiddin.
“Difahamkan ada bahagian yang membuat memorandum untuk memecat Hamzah, namun memorandum itu tidak membolehkan pemecatan secara terus, sebaliknya hanya menyarankan tindakan oleh Lembaga Disiplin,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sejak semalam, semua wakil rakyat Bersatu menerima satu surat rasmi berhubung satu perjumpaan khas yang dijadual berlangsung di kediaman Muhyiddin malam ini dengan agenda berkisar mengenai hala tuju dan masa depan parti.
Dalam pada itu, seorang ADUN Bersatu mengesahkan pertemuan tersebut, namun beliau menepis kononnya ia bertujuan untuk membincangkan kedudukan Hamzah.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberitahu, beliau tidak dijemput ke pertemuan itu meskipun kini masih bergelar ahli ekoran tindakan penggantungan yang dikenakan parti sebelum ini.
Mengulas dakwaan pemecatan Hamzah, beliau berkata, desas-desus tersebut timbul susulan desakan terhadap beberapa ketua bahagian oleh pimpinan tertentu dalam parti.
“Memang wujud ura-ura sedemikian kerana terdapat ketua-ketua bahagian yang menerima desakan daripada pimpinan yang disyaki dalangnya ialah orang kanan Bersatu sendiri.
“Sebab itu terdapat kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh beberapa ketua bahagian di Selangor. Jadi, memang wujud ura-ura sedemikian untuk memecat Datuk Seri Hamzah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Harrison Hassan berkata, Lembaga Disiplin parti perlu segera melaksanakan siasatan berhubung dakwaan penglibatan Hamzah untuk menggugat kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, lebih membimbangkan apabila wujud dakwaan bahawa Hamzah selaku Timbalan Presiden didakwa menjadi dalang tindakan yang dilihat melemahkan kepimpinan presiden serta mencetuskan perpecahan dalam parti.
“Tindakan seperti ini bukan sahaja mencerminkan keangkuhan politik malah merupakan satu bentuk penderhakaan terbuka terhadap kepimpinan sah parti dan jelas bercanggah dengan Perlembagaan Bersatu.
“Jika dakwaan ini dibuktikan, tindakan disiplin paling tegas mesti diambil selaras dengan peruntukan perlembagaan parti. Tiada siapa, walau setinggi mana jawatannya, boleh diletakkan mengatasi parti dan presidennya,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebarang isu berhubung pemecatan ahli Bersatu termasuk Hamzah tertakluk kepada proses yang ditetapkan dalam perlembagaan parti.
Katanya, mana-mana ahli yang didapati melanggar peraturan perlembagaan atau peraturan parti dan sekiranya terdapat aduan bertulis akan dirujuk kepada Lembaga Disiplin untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN










