KUANTAN: Kalau ditanya kepada generasi muda hari ini adakah mereka sanggup menjadi pembuat keranda, jawapannya sudah tentu tidak.
Ia bukan kerja yang glamor dan sering dilabel sebagai kelas bawah, ‘kerja orang lama’ atau dikaitkan dengan nasib malang dan aura negatif yang menakutkan.
Ini menyebabkan jumlah pembuatnya makin kekurangan dan tidak mustahil suatu hari nanti masyarakat Melayu-Islam di negara ini akan kepupusan tukang keranda.
Walaupun dalam Islam, keranda bukan rukun dalam pengebumian, tetapi ia penting untuk digunakan sebagai pengangkutan terakhir bagi membawa jasad untuk disemadikan.
Secara simboliknya tukang keranda berperanan menjaga maruah terakhir manusia. Keranda yang kemas dan sopan melindungi jasad, menutup aib dan memudahkan urusan pengebumian
Oleh itu pembuat keranda mempunyai tempat yang istimewa dalam masyarakat di negara ini.
Namun, tanpa usaha melahirkan pelapis baharu, seni dan tradisi itu akan hilang bersama usia para pembuatnya yang semakin lanjut.
Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Datuk Dr. Aripin Said berkata, seni pembuatan keranda tradisional bukan sekadar kerja tangan, tetapi ia adalah amanah yang diwarisi turun-temurun.
Katanya, ia melambangkan penghormatan terakhir kepada insan yang kembali ke pangkuan Ilahi.
“Saya amat bimbang apabila melihat jumlah pembuat ini semakin berkurangan. Kebanyakan mereka sudah berusia lanjut dan tanpa pewaris baharu, seni ini berisiko besar untuk pupus dalam masa terdekat.
“Keranda bukan hanya kayu yang dibentuk menjadi wadah, tetapi ia sarat dengan nilai budaya, agama dan simbol penghormatan. Hilangnya seni ini bermakna kita kehilangan sebahagian daripada identiti masyarakat Melayu-Islam,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Aripin berkata, generasi kini lebih tertarik kepada pekerjaan moden di bandar dan menganggap bidang ini tidak popular dan tidak menjanjikan pulangan besar.
“Sedangkan hakikatnya, bidang ini adalah satu khidmat bakti yang sangat mulia. Jika tiada usaha melahirkan pelapis, kita akan berdepan keadaan di mana masyarakat terpaksa bergantung kepada keranda buatan kilang yang serba ringkas, tanpa roh tradisi dan nilai seni yang diwarisi.
“Saya melihat seni ini sebagai sebahagian warisan tidak ketara bangsa. Ia sama pentingnya dengan seni ukiran, tenunan songket atau permainan tradisional. Bezanya, ia berkait langsung dengan penghormatan terakhir manusia,” katanya.
Menurutnya, kebimbangannya ketika ini apabila orang ramai masih bertahan dalam seni pembuatan keranda semakin uzur.
“Apabila mereka tiada lagi, ilmu dan kemahiran yang tersimpan dalam tangan mereka akan hilang bersama usia. Kita tidak boleh membiarkan seni ini lupus ditelan zaman. Ia perlu diangkat sebagai warisan negara, diberikan pengiktirafan dan disalurkan program latihan khusus untuk melahirkan generasi pelapis,” katanya.
Beliau menyeru pihak berwajib termasuk Jabatan Warisan Negara dan institusi pendidikan, mengambil langkah proaktif dengan mengajar seni tersebut sama ada dalam bentuk bengkel, kursus komuniti atau modul khas di sekolah.
“Selain itu, masyarakat juga perlu diberikan kesedaran bahawa seni pembuatan keranda bukan kerja biasa. Ia adalah amanah yang berkait dengan fardu kifayah, satu tanggungjawab sosial yang tidak boleh dipandang ringan.
“Jika kita gagal melahirkan pewaris, kita bukan sahaja kehilangan seni, tetapi juga kehilangan nilai kemasyarakatan yang menekankan penghormatan kepada jenazah. Ini adalah kerugian besar terutamanya kepada umat Islam,” katanya.
Menurutnya, jika diberikan pendedahan yang betul, generasi hari ini akan melihat seni itu bidang yang unik dan penuh makna, bukan sekadar pekerjaan, tetapi satu bentuk ibadah.
“Kita perlu mengubah persepsi bahawa pekerjaan atau bidang ini sunyi dan tidak berharga. Sebaliknya, ia adalah kerja mulia yang memastikan adat dan agama terus terpelihara.
“Saya begitu berharap agar masyarakat kampung, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berganding bahu mempertahan seni warisan ini. Jangan biarkan otai-otai ini bekerja sendirian sehingga seni mereka hilang tanpa sempat diwariskan.
“Jika kita gagal bertindak sekarang, dalam satu dekad akan datang, seni pembuatan keranda tradisional mungkin hanya tinggal cerita. Warisan yang sepatutnya menjadi kebanggaan bangsa akan lenyap ditelan arus kemodenan,” katanya.
TRADISI YANG KIAN DILUPAKAN
Pembuat keranda, Abdul Ghafar Hamzah, 80, mengakui seni pertukangan itu semakin dilupakan ekoran ketiadaan pelapis baharu.
Dia yang mesra dipanggil Pok Dol berkata, minat mendalam terhadap seni pertukangan kayu mendorongnya menceburi bidang tersebut lebih 10 tahun sekali gus menjadikan keranda sebagai hasil tangan yang penuh amanah.
“Saya buat keranda kerana minat. Dulu belajar daripada orang tua-tua kampung, lama-lama jadi mahir. Tapi sekarang, anak muda tak berminat,” katanya ketika ditemui di bengkel kecilnya di Kampung Bukit Sekilau di sini.
Menurutnya, keranda bukan sekadar kayu dan paku, namun ia simbol penghormatan kepada insan yang telah pergi, jadi penghasilannya perlu dibuat dengan teliti dan penuh rasa tanggungjawab.
Bagaimanapun, dia kesal kerana bidang itu semakin kekurangan pelapis.
“Kalau tiada siapa yang sanggup belajar, nanti keranda semua dibuat kilang. Hilanglah seni tangan orang kampung,” ujarnya.
Pok Dol sehubungan itu berharap ada pihak yang tampil melatih generasi baharu agar seni pembuatan keranda tidak pupus.
“Keranda tetap akan digunakan sampai bila-bila, tapi kalau tukang tiada, siapa yang akan buat? Selagi ada kudrat, saya akan terus buat. Ini bukan sekadar kerja, tapi amanah,” katanya.
MASA DEPAN KERANDA: TRADISI VS INOVASI
Seorang lagi pembuat keranda, Sabri Said, 63, menegaskan bahawa keranda kayu tradisional masih relevan walaupun dunia kini memperkenalkan pelbagai inovasi mesra alam.
“Keranda kayu tetap ada tempatnya. Orang kampung masih percaya pada kekuatan dan kesucian kayu. Inovasi moden mungkin bagus, tapi belum tentu sesuai dengan adat kita,” katanya.
Dia merujuk kepada keranda mesra alam yang diperbuat daripada bahan terurai seperti akar cendawan, yang mampu mereput dalam tempoh singkat. Namun, baginya, penerimaan masyarakat terhadap inovasi itu masih jauh.
“Kalau ikut teknologi, memang canggih. Tapi soal agama dan budaya kena diambil kira. Kita tak boleh tukar begitu sahaja,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia mengakui seni pembuatan keranda tradisional berdepan cabaran besar ekoran ketiadaan pelapis baharu.
“Kalau anak muda tidak belajar, nanti keranda semua import. Hilanglah identiti,” katanya.
Tambahnya, kos kayu yang semakin mahal turut menekan tukang kampung.
“Dulu boleh guna kayu meranti atau cengal, tapi sekarang harga terlalu tinggi. Ramai terpaksa guna plywood (papan lapis) kerana lebih murah dan mudah didapati.
“Walaupun plywood dianggap kurang kukuh berbanding kayu keras, ia menjadi pilihan praktikal bagi tukang kampung yang mahu memastikan keranda terus dapat dihasilkan tanpa membebankan keluarga si mati,” katanya.
Bagi Sabri, masa depan keranda bergantung kepada keseimbangan antara tradisi dan inovasi.
“Kalau ada pelapis, tradisi boleh kekal. Kalau tiada, mungkin kita terpaksa bergantung pada teknologi luar pula selepas ini,” katanya.-UTUSAN










