Apa yang terjadi itu dahulu, saya pun sudah ‘move on’ - Hael Husaini - Utusan Malaysia

Apa yang terjadi itu dahulu, saya pun sudah ‘move on’ – Hael Husaini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini memberi jaminan bahawa penganjuran konsert sulungnya, Hael Husaini & Repertoire yang dijadual berlangsung pada 8 Ogos ini di Zepp Kuala Lumpur, tetap akan direalisasikan.

Perkara itu kata Hael, adalah demi memastikan tidak wujud lagi isu penangguhan atau pembubaran konsert sebagaimana pernah berlaku sebelum ini.

“Konsert kali ini saya akan pastikan ia tetap diteruskan. Sebab apa yang terjadi terdahulu itu, saya pun dah ‘move on’, itu adalah daripada pihak pengurusan saya yang lama.

“Menerusi pengurusan saya yang baharu, Insya-Allah, kita akan cuba berikan yang terbaik untuk merealisasikan hasrat peminat yang nak tengok saya buat konsert.

“Lagi pula saya tahu peminat-peminat saya sudah lama menunggu, jadi ini adalah janji saya untuk mereka yang mana konsert itu saya janjikan satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Selain itu, ditanya mengenai keputusannya untuk meletakkan beberapa artis lain untuk menjayakan konsertnya itu, Hael berkata, dia tiada masalah berkongsi pentas dengan penyanyi lain.

“Saya sendiri, kalau berada di pentas, ia memberi satu energi. Sebab itu saya beri nama Hael Husaini & Repertoire.

“Sebab seorang Hael Husaini ini dia bukan sahaja penyanyi, tetapi juga penerbit, penulis lirik dan komposer. Malam itu saya akan kongsikan perjalanan Hael Husaini,”katanya.

Sementara itu, kata Hael, dia tidak menjanjikan gimik untuk konsert tersebut namun akan mencuba memberikan yang terbaik untuk menghiburkan peminat dan penonton.

“Kalau orang yang betul-betul kenal Hael Husaini dia akan kenal bagaimana saya akan lakukan persembahan dan malam itu, saya sendiri teruja dengan diri sendiri tentang bagaimana saya akan sampaikan persembahan.

“Terutama selepas 10 tahun saya berada dalam industri seni. Persiapan konsert juga saya sudah rancang lama, sekarang ini tinggal nak susun muzik dan susun bagaimana nak hiburkan penonton.

“Saya letakkan diri sebagai seorang pendengar dan penonton juga demi memberi kepuasan kepada peminat yang hadir ke konsert itu nanti,”katanya.

Selain penyanyi yang bakal didedahkan kelak, konsert Hael Husaini & Repertoire turut menampilkan Dayang Nurfaizah, Wany Hasrita, Nadeera dan Nabila Razali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN