KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan perlu menangani segera tiga isu utama di ibu negara yang terus dihadapi warga kota.
Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Masyarakat Kuala Lumpur (PPMKL), Hussen Zulkarai berkata, tiga isu berkenaan adalah mengenai bangunan terbiar, penyalahgunaan tempat letak kereta selain aduan paling kerap diterima iaitu kesesakan lalu lintas.
Katanya, keadaan itu berpunca daripada terlalu banyak lampu isyarat dan perubahan laluan di kawasan perumahan yang menjejaskan kelancaran trafik harian.
“Ada penduduk mengadu sebelum ini perjalanan dari rumah ke tempat kerja hanya mengambil masa 20 minit, tetapi kini boleh mencecah lebih sejam akibat kesesakan. Lampu isyarat terlalu banyak dan tempoh menunggu kadangkala sehingga enam minit bagi satu simpang,” katanya kepada pemberita di Taman Tasik Sri Rampai di sini hari ini.
Beliau sehubungan itu mencadangkan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula sistem laluan serta persimpangan utama di bandar raya ini, termasuk mempertimbangkan pengembalian semula laluan sehala di kawasan tertentu bagi mengurangkan kesesakan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PPMKL, Affa Syaripuddin berkata, keadaan bangunan terbiar yang banyak terdapat di beberapa kawasan seperti Sungai Besi, Jalan Klang Lama, Cheras dan Setapak juga membimbangkan penduduk.
“Bangunan ini tidak diselenggara dan dijaga kebersihannya oleh pemilik premis sendiri. Bukan hanya di depan, tetapi di belakang sudah jadi macam lorong penagih dadah, sangat kotor,” katanya.
Katanya, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya moden malah boleh menimbulkan masalah keselamatan dan kebersihan awam.
“Terdapat berbelas ribu premis terbiar dan tidak diselenggara dengan baik, ada bangunan yang disewa untuk tujuan perniagaan tetapi pemiliknya gagal menjaga kebersihan sehingga menjadi tempat pembiakan haiwan perosak dan kegiatan tidak sihat.
Sementara itu, Hussen memaklumkan isu tempat letak kereta di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam juga perlu diberi perhatian serius ekoran banyak kenderaan lama dan rosak dibiarkan terbiar sehingga mengganggu lalu lintas dan menyempitkan ruang untuk penduduk. – UTUSAN










