JAKARTA : Anak sulung kepada penyanyi dan komposer terkemuka Indonesia, Ahmad Dhani iaitu Al Ghazali sah bergelar suami kepada wanit pilihannya, Alyssa Daguise dalam sebuah majlis pernikahan yang diadakan di sini, hari ini.
Al Ghazali menyerahkan mas kahwin berupa bar emas seberat 16.6 gram bersama wang tunai 2,025 Euro (RM9909.77).
Penyanyi itu selamat bergelar suami dengan sekali lafaz dalam majlis ijab kabul yang dilakukan di hadapan penghulu dan saksi.
“Saya terima nikah dan kahwinnya Alyssa Paramitha Daguise Richard Vincent Daguise dengan mas kahwin tersebut dibayar tunai,” katanya.
Menurut laporan media tempatan, majlis akad nikah berlangsung pada pukul 10 pagi dan pasangan pengantin dilihat menggayakan busana rona putih mengikut adat Sunda.
Selain Ahmad Dhani, momen pernikahan itu turut dihadiri bekas isterinya, penyanyi Maia Estianty yang memakai pakaian sedondon rona hijau duduk berdampingan menyaksikan hari bahagia anak lelaki mereka.
Semalam, Al Ghazali dan Alyssa menjalani acara siraman yang diadakan di kawasan Pondok Indah, Jakarta Selatan.
Al Ghazali dan Alyssa sudah menjalin hubungan cinta selama 9 tahun namun mereka pernah berpisah sebelum ini.
Pada 2024, pasangan ini dilaporkan Kembali menjalin hubungan cinta dan mengikat tali pertunangan pada September tahun yang sama.