KUALA LUMPUR : Aktor, Datuk Aaron Aziz, 49, mendedahkan pernah memarahi fan menegur seorang pelakon baharu gara-gara sikap berlagak individu itu ketika berada di sebuah set penggambaran.
Menurut Aaron, dia terpaksa masuk campur dalam situasi itu kerana melihat sikap pelakon baharu tersebut telah mengganggu keseluruhan tenaga kerja di set.
“Ada satu situasi di set, di mana pelakon baharu ini buat perangai. Kena jeritlah dengan saya sebab dia terlalu melampau. Dia buat orang semua menunggu-nunggu di set.
“Kadangkala orang begini memang kita kena berilah kesedaran sikit. Sebab bila kita berada di set, semua itu merupakan satu kerja sepasukan.
“Ya , tahu awak tengah ‘meletop’, tapi saya tak peduli. Kalau awak salah, tetap salah. Kalau awak tak suka saya, jangan kerja dengan saya,”katanya.
Aaron berkata demikian dalam satu sesi siaran video siar Syok di You Tube.
Berikutan itu, Aaron menasihatkan pelapis-pelapis baharu dunia lakonan supaya menjaga keperibadian masing-masing dengan tidak berlagak atau sombong meskipun nama sedang meningkat naik dalam industri seni.
“Jika ditanya apa nasihat saya, bukan tentang apa yang mereka kena adakan. Tetapi tentang apa yang mereka jangan adakan. Jangan adakan perangai berlagak.
“Jangan adakan awak punya ‘demand’ merepek contoh mahu bilik seorang dan jangan juga anggap diri ‘top’.
“Saya jenis orang yang cakap benda betul. Awak boleh tanya orang lain dalam industri,”katanya.
Berkongsi lanjut mengenai sikapnya yang gemar berterus-terang, kata Aaron, dia juga pernah protes untuk tidak mahu meneruskan lakonan di set kerana masih belum menerima bayaran gaji sebagaimana yang dijanjikan oleh pihak produksi.
“Macam kes ada penerbit lambat bayar gaji, saya pernah buka mikrofon dan cakap tak nak ‘shoot’. Bayaran lambat sebulan dan dijanjikan hari itu namun tidak dibayar. Pelakon lain ada yang tanya kenapa saya buat begitu.
“Kalau itu awak punya prerogatif, tetap nak teruskan berlakon, itu awak. Saya ada tiga anak di rumah perlu diberi makan. Awak boleh suruh saya kerja 18 jam tanpa henti, tapi kalau kontrak tulis bayaran hari ini, awak bayarlah,”katanya.
Tegas Aaron, tindakan itu jauh daripada sikap berlagak kerana hakikatnya seseorang perlu bersuara demi kebajikan pekerja di set penggambaran jika keadaan seperti itu berlaku.
“Bukan berlagak, kalau saya tak buat macam itu, siapa nak bela orang seni ini? Sampai bila kita hendak menunduk kepada penerbit, rezeki Allah yang bagi. Jadi kenapa kita hendak takut dengan manusia jika kita betul?
“Mereka bermain-main dengan gaji kita dan yang lain tak berani bersuara. Kalau kita boleh bersuara, kita tolong bersuara untuk mereka,”katanya.