SEREMBAN: Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) mahu meneruskan momentum kejayaan syarikat itu berteraskan prinsip kebijaksanaan, perpaduan dan visi jangka panjang.
Pengerusi Kumpulannya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin berkata, syarikat itu bermula sebagai pemaju tempatan berpandukan falsafah yang mudah iaitu membina secara bertanggungjawab, konsisten dan sentiasa berfikir jangka panjang.
Katanya, falsafah itu telah membawa syarikat itumelalui kitaran pasaran, ketidakpastian ekonomi dan jangkaan yang berubah-ubah sambil membolehkan syaikat tersebut berkembang lebih kukuh setiap dekad.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perjalanan kami telah ditandai dengan kemajuan yang mantap dan keyakinan yang semakin meningkat.
“Kami berbesar hati kerana diamanahkan untuk membentuk pembangunan perbandaran seluas 1,097 hektar merentasi Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0 dan Bandar Seri Impian 2 berpandukan perancangan yang teliti, tujuan yang jelas dan pandangan jangka panjang,” katanya pada majlis makan malam bagi meraikan rakan niaga di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Datuk Seri Lee Tian Hock.
Mohamad Haslah turut menyifatkan tempoh 30 tahun yang ditempuhi syarikat itu bukan semata-mata sebagai pemaju perbandaran tetapi menyuburkan prinsip perkongsian, kepercayaan dan hubungan yang berkekalan. – UTUSAN










