Empat individu dirakam keterangan kes cubaan samun stesen minyak TTDI

Empat individu dirakam keterangan kes cubaan samun stesen minyak TTDI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mengambil keterangan empat individu bagi membantu siasatan kes cubaan samun di sebuah stesen minyak di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), di sini, pada Ahad lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, siasatan awal mendapati suspek yang terlibat merupakan seorang lelaki dan dikenal pasti sebagai penagih dadah.

Pihak polis kini giat mengesan suspek terbabit dan telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi membantu usaha mengesan serta menjejaki lelaki berkenaan.

“Setakat ini, keterangan empat individu telah diambil melibatkan mangsa, seorang pekerja stesen minyak serta dua orang awam yang berada di lokasi ketika kejadian berlaku.

“Rakaman CCTV telah diperoleh dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Polis yakin suspek dapat dikesan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelupusan Barang Kes Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, cubaan samun dilaporkan gagal selepas mangsa bersama rakannya bertindak melawan suspek sehingga berlaku pergelutan. Suspek kemudiannya melarikan diri tanpa sempat melarikan sebarang harta.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Chang Hook memaklumkan polis turut melupuskan pelbagai barang kes bernilai keseluruhan lebih RM1.8 juta yang disita sejak tahun 2023.

Katanya, pelupusan tersebut melibatkan barang kes di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) IPD Brickfields.

“Pelupusan BSJD membabitkan 180 kertas siasatan merangkumi 57 kes am, 57 kes noda dan hiburan, 60 kes judi dan dadu serta enam kes kontraban dengan nilai rampasan mencecah RM1.61 juta.

“Manakala BSJKD pula melibatkan sembilan kertas siasatan dengan nilai anggaran RM203,530,” katanya.

Beliau menegaskan, pelupusan barangan kes dilaksanakan mengikut prosedur bagi memastikan ketelusan serta kelancaran pengurusan barang rampasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN