KUALA LUMPUR : Penyanyi, Nadeera Zaini mengakui dirinya merupakan salah seorang peminat setia Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza semenjak kecil.
Menurut Nadeera atau nama sebenarnya, Farah Nadeera Zaini, lagu pertama Siti Nurhaliza yang dinyanyikan olehnya adalah Cindai.
“Saya memang peminat Datuk Siti, ketika umur saya tiga tahun lagu Cindai adalah lagu pertama yang keluar daripada mulut saya.
“Tapi malam ini kenapa saya bawa lagu Tanpa Dendam Dihati sebab saya sukar lirik dia, kita hayati lirik dia walaupun orang tu jahat dengan kita saya tiada rasa dendam,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi yang bernaung di bawah syarikat Huge Entertainment itu juga mengakui dia adalah sebahagian daripada peminat setia Siti Nurhaliza.
Perkara itu juga diakui olehnya ketika menyanyikan lagu Tiada Dendam Di Hati semasa menjayakan Showcase An Evening With Nadeera di PJ Pac, di sini, semalam.
“Sebenarnya saya pun Siti Zoners, kita kongsi sama-samalah peminat. Boleh?” soal Nadeera dan disambut dengan sorakan peminat.
Berkongsi mengenai pemilihan lagu tersebut, kata Nadeera, dia sengaja memilih lagu tersebut kerana meminati liriknya yang mendalam.
“Saya pilih lagu Tanpa Dendam Di Hati adalah kerana saya suka dengan liriknya. Bila hayati liriknya, walaupun seseorang jahat dan buat macam-macam, tapi kita tak simpan dendam.
“Kita biarkan sahaja apa orang nak buat kepada kita,”katanya.
Pada masa sama, Nadeera juga tidak menyangka bahawa dia akan dapat berduet bersama penyanyi Dayang Nurfaizah.
Jelas Nadeera, dia sangat mengagumi bakat yang ada pada Dayang sebagai seorang penyanyi.
Malah, penyanyi berusia 32 tahun ini turut meluahkan rasa syukur apabila sentiasa mendapat sokongan daripada nama-nama besar dalam industri seni suara tanah air.

“Saya pada mulanya hanya cadang sahaja nama Dayang Nurfaizah kepada pihak pengurusan sebab saya sangat suka dengan keunikan suara dia, imej dia dan saya menjadikan dia sebagai idola saya.
“Dan saya rasa sangat terharu juga apabila pihak pengurusan kata kepada saya yang mana Dayang sendiri nak nyanyi dengan saya. Saya melompat-lompat bila tahu.
“Saya sebenarnya tak kira, Datuk Seri Siti komen ke apa atau nama-nama besar dalam industri yang sokong saya sudah tentu perkara tersebut buat saya gembira kerana mereka menghargai bakat yang saya ada,” katanya.
Selain Dayang, antara rakan artis yang turut hadir pada malam tersebut adalah Anuar Zain dan Datuk Zainal Abidin.
Showcase sulung Nadeera bertajuk An Evening With Nadeera telah berlangsung di Nero Event Space, PJPAC, 1 Utama.
Untuk info, tiket showcase Nadeera habis terjual hanya dalam masa tiga minit selepas ia dibuka untuk jualan.










