KUALA LUMPUR : Pelakon versatil, Nabila Huda, menyifatkan dirinya masih belum layak bergelar seorang guru seni lakon meskipun sudah memiliki pengalaman cukup lama dalam bidang ini.
Bagaimanapun, kata Nabila, dia pernah menerima cadangan untuk membuka kelas lakonan daripada beberapa pihak yang melihat profil kerjaya seninya sudah cukup kukuh untuk tujuan perkongsian ilmu.
“Sebenarnya, saya sendiri masih dalam proses belajar. Walaupun mungkin orang nampak saya dah tahap jauh dalam bidang seni ini, tetapi untuk dilihat sudah mampu bergelar cikgu, saya sendiri rasa segan.
“Rasanya saya ini belum layak lagi. Masih banyak yang belum diterokai dan saya nak cuba banyak benda lagi contohnya terlibat dalam filem epik berbanding nak fokus mengajar orang lain.
“Bukan tak mahu langsung mengajar, tetapi saya belum sampai lagi untuk tahap itu,”katanya ketika ditemui di Pesta Unifi baru-baru ini.
Selain itu, Nabila mengakui sepanjang terlibat dalam dunia seni dia sering didatangi oleh pelapis-pelapis baharu dalam bidang lakonan yang ingin menimba ilmu dan pengalaman bersamanya.
Bagaimanapun, kata Nabila, dia tidak pernah memaksa mereka untuk mengikuti sebarang tips atau nasihat berkenaan seni lakonan kerana percaya masing-masing mempunyai cara berfikir yang berbeza.
“Ada juga yang datang bertanya dengan saya pasal seni lakon, tetapi masing-masing ada pemikiran sendiri. Kadang-kadang, dia tak suka apa yang kita cadangkan tetapi ada orang suka dengan cara yang kita nasihatkan itu.
“Saya boleh kongsi ilmu melalui pengalaman yang ada. Tetapi mereka sendiri kena tanya diri, apa yang mereka mahukan? Kalau nak tuju haluan yang betul, awak ikut. Kalau tak, itu terpulang.
“Tetapi dalam hal ini, saya sedar diri dan ruang. Saya belum lagi boleh jadi tenaga pengajar walaupun ada yang minta. Sijil mengajar pun saya tak ada,”katanya.
Pada masa yang sama, Nabila sempat berseloroh bahawa dia belum bersedia untuk membuka kelas seni lakon kerana jadual kerjayanya juga terlalu padat.
“Saya pun sibuk dan sebagai manusia tak boleh lari daripada faktor ‘ada mood’. Nanti tiba-tiba saya nak mengajar tapi kelas pula ikut suka hati, macam mana itu?
“Kita pula ada mood, sekejap nak mengajar sekejap tidak. Tak payahlah kalau macam itu, hidup kita pun masih terkontang-kanting, tidur pun tak cukup,”katanya.