Sedih bila kita sanggup telanjangkan emosi depan orang ramai - Raja Ilya

Sedih bila kita sanggup telanjangkan emosi depan orang ramai – Raja Ilya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pempengaruh, Raja Ilya, 40, meluahkan kebimbangannya terhadap gelagat pengguna media sosial terutama apabila kebelakangan ini timbul pelbagai isu sensasi yang disifatkan tidak wajar.

Bagi Ilya, tidak semua perkara harus dipertonton atau dijadikan bahan kandungan di media sosial berikutan ia hanya mendatangkan keburukan berbanding kebaikan.

“Media sosial dulu lain, sekarang dah jadi satu dunia lain. Dulu kita kongsikan momen gembira, menari ke, makanan yang menarik, kongsikan barang baharu, muat naik sebarang berita, benda kelakar, sumbangan, atau aktiviti kehidupan yang ringan tetapi bermakna.

“Tetapi sekarang, semua benda jadi bahan kandungan media sosial. Sakit, kematian, drama rumah tangga, semua jadi ‘content’. Apa sahaja yang boleh tarik penonton dapat tanda suka, jalan.

“Macam dah tak kisah pun pasal ‘privacy’. Yang penting tular. Sedih bila fikir kita sanggup mendedahkan atau telanjangkan emosi depan orang ramai tapi tutup perasaan depan orang yang kita sayang,”katanya.

Raja Ilya berkata demikian dalam satu hantaran di Instagram, semalam.

Selain itu, kata pelakon filem KL Vampires ini, dia mengakui tidak bersetuju andai segala paparan kehidupan dikongsikan di dalam media sosial.

“Bermula daripada kita bangun tidur, apa kita makan, apa anak kita buat, gaduh dengan pasangan, dengan adik beradik, sampai benda paling peribadi sekali pun, semuanya tayang untuk dunia, kenapa? Untuk validasi? Perhatian?

“Atau sebab kita sendiri dah hilang batas? Media sosial sepatutnya tempat bersosial, bukan tempat menjaja luka. Dulu seronok sahaja, sekarang dah jadi toksik. Anak-anak belajar cari ‘bukti’ untuk valid di sekolah, di universiti dari media sosial bukan dari komunikasi.

“Suami isteri berbalas sindiran di story. Ibu bapa
luah kecewa di live. Adik-beradik saling ‘block’, bukan selesaikan masalah. Hubungan hilang, diganti dengan bahan kandungan,”ujarnya.

Berikutan itu, Ilya berpandangan, setiap pengguna media sosial harus berhenti sejenak, menarik nafas dan melakukan refleksi.

“Kurangkan masa di skrin. Tambahkan waktu sebenar dengan keluarga, dengan pasangan, dengan anak, dengan kawan. Masa tak tunggu kita dan media sosial takkan pernah puas dengan apa yang kita bagi.

“Jadi mungkin kita kena simpan hal peribadi kita dan kongsikan benda yang memberikan manfaat. Bukan semua nak dijadikan drama episod harian.

“Ini sekadar pandangan saya saja pun. Dunia dah banyak ‘bunyi’. Tak salah kalau kita jadi yang tenangkan, bukan tambahkan.Risau tengok media sosial sekarang,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN