PETALING JAYA: Pelakon terkenal, Mawar Rashid tidak dapat menahan air mata apabila mengenang cabaran hidup yang dilaluinya, terutamanya sebagai ibu tunggal yang membesarkan tiga orang anak.
Walau berdepan dengan pelbagai kesulitan, Mawar mengakui bahawa kehadiran anak-anak menjadi sumber kekuatan untuknya terus melangkah ke hadapan.
Mawar, atau nama penuhnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 30, berkata sokongan keluarga dan rakan terdekat turut menjadi tiang utama dalam menyokong dirinya menjalani kehidupan seharian.
“Mustahil tak ‘struggle’, sudah tentu saya melaluinya. Tapi saya rasa itu adalah keindahan dalam hidup.
“Saya fikir inilah perkara semua ibu rasa, terpaksa pergi kerja dan tinggalkan anak-anak.
“Sudah tentu semua orang merasai perkara yang berat dalam hidup, tapi saya fikir perlu teruskan berjuang,” katanya ketika ditemui sempena majlis doa selamat filem terbaharunya, Nar’Sata, yang berlangsung di Wisma Metrowealth International Group (MIG), semalam.
Menurut Mawar, rasa sebak yang menyelubunginya berpunca daripada kenangan dan kesukaran yang dihadapi demi membesarkan anak-anak tercinta setiap hari.
“Ada banyak perkara dilalui, setiap hari saya berjuang untuk anak-anak. Anak-anak adalah penguat semangat saya. Setiap kali tengok anak-anak saya percaya boleh teruskan.
“Saya juga dapat sokongan daripada pengikut yang memberikan komen positif. Itu memang sokongan yang baik untuk diri saya.
“Saya tak akan berada di sini tanpa sistem sokongan seperti keluarga, anak-anak dan kawan-kawan. Pada saya sistem sokongan sangat penting,” ujarnya.
Mawar turut berkongsi bahawa pelbagai pengorbanan telah dilakukan sepanjang perjalanan hidupnya hingga ke tahap sekarang.
Atas sebab itu, dia kini lebih menghargai diri sendiri dan menyeru wanita lain melakukan perkara yang sama.
“Jadi, untuk semua wanita di luar sana, jangan lupa untuk lebih mencintai diri sendiri.
“Kadang-kadang kita terlampau bagi kasih sayang kepada orang yang kita sayang seperti anak dan keluarga kita.
“Sampai bila tengok cermin, kita macam tak kenal dan tak nampak diri kita,” katanya lagi.
Untuk rekod, Mawar pernah mendirikan rumah tangga bersama Raf, atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob pada 9 November 2017. Namun, pasangan ini berpisah pada November 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Raden Muhammad, 6, Raden Seri Rosabella Cinta, 4, dan Raden Seri Riyanna Sayang, 2. – UTUSAN