Sertai lawatan ke angkasa, Katy Perry selamat mendarat ke bumi - Utusan Malaysia

Sertai lawatan ke angkasa, Katy Perry selamat mendarat ke bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS: Penyanyi terkemuka antarabangsa, Katy Perry, selamat mendarat di bumi bersama lima wanita lain selepas keenam-enam mereka selesai menjalankan misi lawatan ke angkasa semalam.

Lawatan itu menyaksikan Katy, Lauren Sánchez, Gayle King, Amanda Nguyen, Aisha Bowe dan Kerianne Flynn menaiki roket New Shepherd dalam misi penerbangan suborbital Blue Origin NS-31 anjuran Blue Origin.

Ia juga menyaksikan mereka menjayakan penerbangan bersejarah yang mencatatkan kru wanita pertama ke angkasa sejak tahun 1963.

Roket New Shepard dilancarkan pada jam 8:30 pagi waktu tempatan dari fasiliti Blue Origin di Texas.

Keseluruhan misi berlangsung selama 10 minit dan 21 saat, dengan para angkasawan menikmati kira-kira empat minit dalam keadaan mikrograviti di angkasa.

Kapsul yang membawa kru mendarat dengan selamat di padang pasir Chihuahuan, Texas, pada jam 1:40 petang waktu UTC.

Perry dilihat mencium tanah sebagai tanda syukur dan penghormatan kepada planet bumi sejurus selamat mendarat.

Momen emosional itu menjadi tular di media sosial, dengan ramai peminat memuji keberaniannya dan menyifatkan tindakan itu sebagai simbol kasih sayang terhadap Bumi.

Menurut laporan media antarabangsa, penyanyi lagu Fireworks dan Hot & Cold itu cuma berkesempatan melalukan latihan angkasawan selama beberapa hari sebelum berangkat ke angkasa.

Ini termasuk penekanan terhadap kecergasan fizikal, protokol kecemasan, dan prosedur untuk keadaan tanpa graviti.

Difahamkan, semasa berada di angkasa, Katy juga memilih untuk menyanyikan lagu What a Wonderful World oleh Louis Armstrong berbanding menyanyikan lagunya sendiri.

Kata Katy, ia adalah sebagai satu penghargaannya terhadap planet ini.

“Saya rasa ini bukan tentang saya atau tentang saya menyanyikan lagu-lagu saya, tetapi lebih kepada satu tenaga kolektif di situ, ketika berada di angkasa.

“Ia tentang dunia yang indah yang kita lihat di luar sana, dan menghargainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya