KUALA LUMPUR : Suami kepada penyanyi dan pelakon, Abby Abadi, iaitu Muhammad Faizal Zakaria mengakui akan sentiasa setia bersama dan memberikan sokongan kepada isterinya itu meskipun ujian dan kecaman kini melanda keluarga mereka.
Menerusi aplikasi Threads, Faizal meletakkan keyakinan bahawa semua ujian ini akan berakhir dan dia akan sentiasa berada di sisi Abby dalam melaluinya.
“Biarlah sayangku Abby Abadi kalau orang nak kecam ke, kutuk atau kata macam-macam.
Saya tetap bersama sayang hingga akhir hayat saya.
“Kalau dah sampai masa untuk kita bawa diri, elok kita lakukan. Insya-Allah ada cahaya dihadapan kita nanti,”katanya.
Dalam pada itu, Faizal turut meluahkan hasrat untuk tinggal bersama Abby di Tanah Suci Mekah dan menghabiskan sisa hidup bersama isterinya itu.
“Bila dah tua nanti dan nampak macam tak ada yang peduli kita, kita duduk pondok, rumah orang tua atau kita pindah duduk Mekah, habiskan sisa-sisa hidup yang ada itu.
“Ingat, saya sentiasa ada bersama sayang, kasih sayang dunia akhirat,”katanya.
Terdahulu, kemelut antara Abby bersama anak dan menantunya, Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam mula tercetus apabila ada pihak yang meminta pelakon itu untuk memohon maaf kepada isteri pertama menantunya, Umisya Mazlan.
Bagaimanapun Abby mempersoalkan permintaan itu sebaliknya meminta menantunya Aslam perlu datang memohon maaf kepadanya.
Aslam kemudiannya mengaku salah dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Abby melalui aplikasi Threads.
Untuk rekod, Marissa bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada Disember 2023.
Manakala, Aslam dan Umisya pula mendirikan rumah tangga pada Julai 2020.
Hasil perkahwinan tersebut, Aslam dan Umisya dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Hud, 4, Nuh, 3 dan seorang bayi perempuan yang kini berusia dua bulan.