PETALING JAYA: Pengarah dan penerbit, Erma Fatima, memberi peluang kepada pelakon, Fathia Latiff untuk kembali ke dunia lakonan menerusi drama Jangan Tinggal Abang, Dek biarpun aktres tersebut dihambat kontroversi satu demi satu.
Jelas Erma, sepanjang bekerjasama, pemenang trofi Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular 2016 itu bukan sahaja menunjukkan komitmen yang baik untuk menghidupkan karakter malah sangat menjaga disiplin di set penggambaran.
“Siapa mahu beri Fathia peluang jika bukan orang industri sendiri? Saya ambil Fathia berlakon semula untuk memberikan semangat agar dia boleh terus berkarya dalam industri sebagai pelakon.
“Setakat hari ini, tiada sebarang masalah pun yang berlaku. Sikapnya bagus dan selalu datang ke set penggambaran tepat waktu.
“Bahkan, disiplin yang ditunjukkan Fathia berkali-kali lebih bagus daripada dirinya yang dulu. Dia bersungguh-sungguh menjayakannya. Saya rasa Fathia berjaya kali ini,” katanya.
Erma berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa foto dan video belakangan tabir penggambaran Jangan Tinggal Abang, Dek memaparkan Fathia Latiff sebagai salah seorang pelakon.
Bukan itu sahaja, Erma mengakui memang sudah lama berniat memberi tawaran kerja kepada Fathia menyebabkan dia menciptakan watak khas untuk dibawakan pelakon itu.
“Saya sendiri yang cipta watak itu untuk Fathia iaitu seorang janda yang ingin menjadi usahawan minyak wangi. Sayangnya, dia terpedaya dengan cinta seorang lelaki yang rupanya berstatus suami orang.
“Tawaran itu saya panjangkan ke Fathia sebulan lalu. Memandangkan prestasi lakonannya cemerlang, saya juga telah menawarkan Fathia untuk berlakon dalam naskhah saya yang seterusnya,” jelasnya.
Menurut Erma, drama Jangan Tinggal Abang, Dek yang turut dibarisi pelakon seperti Datuk Adi Putra, Adira, Elly Mazlein dan Nabila Huda itu akan ditayangkan di seluruh platform media sosial pada pertengahan Ogos.
Terdahulu, Fathia mencuri perhatian apabila memuat naik kenyataannya yang mengatakan pelakon, Zahirah kelihatan seperti bibik.
Dia juga pernah memuat naik gambar bekas kekasihnya, Aiman Hakim, mengatakan kononnya lelaki itu masih menyayanginya.- UTUSAN










