Saya tidak rasa perlu bersaing dengan penyanyi baru - Utusan Malaysia

Saya tidak rasa perlu bersaing dengan penyanyi baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Stacy, tidak pernah meletakkan sasaran mengalahkan penyanyi baharu sebagai fokus utama memasuki pertandingan program realiti, The Hardest Singing Show.

Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 33, berkata, dia hanya ingin beraksi di atas pentas demi kepuasan peribadi di samping mencabar kemampuan diri.

“Pada umur sebegini, saya sudah tidak fikir tentang stres untuk bersaing mengalahkan penyanyi baharu.

“Tekanan saya lebih kepada memikirkan konsep apa yang ingin dibawakan semasa persembahan. Saya hanya bertanding dengan diri sendiri.

“Kadangkala saya tengok kembali video lama di mana saya menari lincah sambil bernyanyi. Sekarang saya sedang fikir bagaimana nak jadi lebih bagus daripada dulu,” katanya.

Stacy berkata demikian ketika mengulas mengenai kedatangan penyanyi baharu popular yang dilihat memberi cabaran sengit sepanjang pertandingan.

Penulis lirik dengan panggilan Bunga Cantik itu bagaimanapun menyimpan harapan sekiranya persembahannya dalam pertandingan itu akan meyakinkan mana-mana penganjur untuk menawarkan peluang konsert kepadanya.

“Waktu saya solo, stamina ada tapi ilmu dalam muzik kurang. Bila sudah ada anak, saya banyak hasilkan muzik belakang tabir dan belajar banyak perkara.

“Dengan ilmu tersebut, saya harap dapat menghasilkan persembahan yang bagus dan tunjuk segala kemampuan.

“Mungkin dari situ orang akan dapat kepercayaan mahu anjurkan konsert untuk saya selepas 16 tahun di dalam industri,” katanya.

Stacy ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media pertandingan program realiti, The Hardest Singing Show bertempat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kurang seminggu sebelum pertandingan bermula, penyanyi Kasanova itu bersyukur kerana suami yang juga penyanyi, Akim Ahmad, 32, memberikan sokongan termasuklah mengurus dua orang anaknya.

“Akim pada awalnya berat hati nak beri izin bertanding sebab tidak mahu saya tertekan. Tapi selepas saya yakinkan, dia turut menyokong.

“Bukan hanya Akim, malah kakak dan ibu saya juga akan turun untuk sama-sama beri bantuan dan tengokkan kebajikan anak sekiranya saya sibuk.

“Mereka tahu saya tidak akan gajikan mana-mana pengasuh untuk jaga anak. Maklumlah saya seorang yang terlalu melindungi anak,” katanya.

The Hardest Singing Show bakal bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras bermula 12 Mei ini di Astro Ria pukul 9:00 malam.

Turut sama berentap dalam pertandingan itu ialah Datin Alyah, Zizi Kirana, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Aisha Retno, Putera Muhammad, Aepul Roza, serta De Fam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya