PETALING JAYA: Pelakon, Ameerul Asyraf mengakui akan tetap dengan pendiriannya untuk mengutamakan arahan pengarah sekiranya diminta melakonkan babak intim meskipun dilarang oleh isterinya.
Ameerul atau nama sebenarnya, Ameerul Asyraf Mohammad, 33, berkata, dia mahu memberikan sepenuhnya komitmen dalam dunia lakonan kerana itu sahaja peluang yang ada.
“Semasa di set penggambaran, kita memang kena dengar arahan pengarah kerana dia adalah bos. Isteri saya jatuh nombor dua.
“Saya tetap mengikut arahan pengarah walaupun isteri saya tidak mengizinkan atau meletakkan apa jua syarat untuk saya berlakon.
“Saya tidak mahu lepaskan peluang yang ada sebab itu semasa di set penggambaran saya akan dengar arahan daripada tenaga produksi untuk tambah baik persembahan saya sebagai pelakon,” katanya.
Ameerul berkongsi perkara itu semasa ditemui di majlis Eksklusif Drama Sangat Close Up X Lelaki Itu di Hadramawt Kitchen, Ampang pada Isnin lalu.
Jelas Ameerul, dia mengakui isterinya cemburu apabila melihat dirinya melakonkan babak intim bersama Che Puan Sarimah dalam drama bersiri Lelaki Itu.
“Pada awalnya, isteri saya memang cemburu sebab tak boleh tengok babak intim saya dengan Sarimah.
“Dia merajuk melihat lakonan yang terlalu mesra. Dia juga ada mengikuti saya ke set penggambaran tetapi saya sudah jelaskan kepadanya tentang komitmen saya sebagai seorang pelakon.
“Saya hanya berlakon mengikut arahan pengarah jadi membawa watak ‘daring’ memerlukan saya bersentuhan dengan Sarimah,”katanya.