Papa periang, tegas bertempat - Anak Allahyarham Hail Amir - Utusan Malaysia

Papa periang, tegas bertempat – Anak Allahyarham Hail Amir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: “Papa seorang periang, tegas tetapi bertempat. Rumah tak pernah sunyi kalau ada papa, tetapi sekarang papa tiada lagi.”

Demikian perkongsian Lutfi Ameer, 26, anak kepada Allahyarham Datuk Hail Amir, 76, ketika ditanya sisi ayah seniman tersebut dari pandangan mata mereka.

Kongsi Lutfi, Hail meninggalkan kenangan dan pengajaran besar dalam hidup anak-anak bukan sahaja sebagai bapa tetapi memberi inspirasi kepada kami semua.

“Bila Allahyarham meninggal, perginya seorang figura yang sangat penting dalam hidup saya. Bukan sahaja sebagai bapa, tetapi dia adalah inspirasi buat kami adik-beradik dalam kehidupan ini.

“Sebelum papa menghembuskan nafas terakhir, tiada apa-apa pesanan istimewa. Tapi papa selalu cakap dekat kami supaya jaga diri baik-baik.

“Sepanjang hidup, dia memberi terlampau banyak kenangan untuk kami satu keluarga, “ katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini hari ini.

Semalam, Allahyarham Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 3.48 petang akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Dalam pada itu, Lutfi berkata, lagu dan filem bapanya akan kekal menjadi pengubat rindu mereka sekeluarga biarpun sosok hebat itu sudah pergi ke negeri abadi buat selama-lamanya.

“Setiap lagu dan filem papa, itu adalah peninggalan paling berharga dan bonus kepada kami sekeluarga yang tidak semua orang ada. Kami akan hargai itu semua sehingga akhir hayat.

“Ada sesetengah orang mungkin meninggalkan tanah atau harta, tapi papa tinggalkan kami dengan khazanah karya seni yang tidak ternilai harganya.

“Meskipun papa sudah tiada, karyanya akan sentiasa mengubati rindu kami sekeluarga. Suaranya akan berkumandang sampai bila-bila,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya