Belilah tiket, naskhah anak tempatan sudah makin bagus - Utusan Malaysia

Belilah tiket, naskhah anak tempatan sudah makin bagus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Einstein mengatakan imaginasi akan membawa kita kemana-mana, ia bererti kita boleh berada di setiap tempat dan keadaan, pada bila-bila masa.

Misalnya dialog Labi kepada Labu dalam filem yang terbit pada tahun 1962, ‘Jangan cakap pelat orang putihlah’ ketika menyindir orang Melayu yang suka mengukur kemajuan dengan elemen Barat.

Sehingga kini, kita masih merasakan filem itu sedang bersatira kepada kita di tahun 2024 kerana begitulah imaginasi bekerja.

Hari ini, dengan lebih banyak kehadiran platform over-the-top, penonton sudah mempunyai piawaian kreativiti dan imaginasi lebih tinggi.

Pasca pandemik, kita melihat pengkarya tempatan semakin buas menghasilkan naskhah dengan kualiti sama hebat dengan lambakan kandungan dari negara luar melihat kepada kejayaan Imaginur, Polis Evo 3, Didi & Friends The Movie yang menjadi tiga naskhah dengan kutipan paling tinggi tahun lalu.

Belum sampai setengah tahun, kita sudah menyaksikan pencapaian membanggakan filem Sheriff: Narko Integriti yang menjadi naskhah pertama menceritakan sisi gelap dunia polis. Turut menjadi tumpuan ialah drama Lelaki Itu mengupas pengagihan faraid dengan capaian 1.13 bilion di laman sosial.

Masyarakat sedia keluar dari tempurung

Menurut penerbit dan pelakon, Syafiq Kyle, filem dan drama tempatan tidak boleh sekadar hidup dalam tempurung. Sudah masanya industri kita menjadi lebih berani mengupas isu sensitif yang sama marak dibincangkan dalam masyarakat.

“Isu masyarakat hari ini sudah lebih liar daripada apa yang kita tonton di skrin dari kes rumah tangga, jenayah sehinggalah anak kena rogol dengan bapa. Kalau naskhah kita tidak mencerminkan apa yang berlalu, maksudnya ada yang tidak kena.

“Contohnya drama One Cent Thief yang diadaptasi dari kes yang pernah terjadi. Kita terima banyak respons khususnya dari kumpulan elit kerana mereka tahu sejarah rompakan itu.

“Taiwan, Korea dan Jepun sudah lama guna formula mengupas isu sensitif dan jenayah, namun kita masih takut-takut. Dengan kehadiran Sheriff, kita sudah lihat bagaimana masyarakat sudah boleh menerima filem dengan isu sensitif begini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Manakala bagi pengarah dan pelakon, Erma Fatima, bagi menghasilkan naskhah sensitif, pengkarya perlu membina kubu agar tidak menimbulkan kontroversi.

“Dalam drama Lelaki Itu, penting untuk kita bekerjasama dengan pakar contohnya peguam yang memang arif berkenaan pembahagian harta faraid.

“Saya juga ambil tanggungjawab untuk sunting beberapa episod yang agak berat sendiri dalam drama ini.

“Alhamdulillah perjuangan saya adalah untuk buat karya yang mempunyai mesej baik dengan pelakon berkualiti buat penonton. Alhamdulillah ia membuahkan hasil walaupun saya rugi dan tiada untung walau satu sen,” katanya.


Keyakinan lebih pejal dari penonton

Jumlah kutipan panggung tidak seharusnya menjadi satu-satunya kayu ukur kejayaan sesuatu filem. Kita perlu berasa cemburu bagaimana penonton Indonesia sangat bangga dengan mutu filem negaranya dan mengutamakan membeli tiket naskhah sendiri berbanding karya luar.

“Memang kita di belakang Indonesia sebab penduduk mereka lebih ramai dengan 3000 panggung berbanding kita yang hanya ada 180 panggung.

“Namun dari segi mutu, tidak semua filem Indonesia bagus dan tidak semua filem kita tidak bagus.

“Apa yang kita mahukan hari ini ialah keyakinan penonton agar mereka turun ke panggung dan tidak teragak-agak membeli tiket filem anak tempatan di pawagam,” kata Syafiq.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya