Tujuh artis muda Indonesia ‘jual’ lagu raya - Utusan Malaysia

Tujuh artis muda Indonesia ‘jual’ lagu raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAMA meriahnya dengan industri muzik Malaysia, pemuzik dan artis dari negara seberang juga tidak ketinggalan menghasilkan lagu raya menjelang Aifilfitri. Terkini, tujuh penyanyi muda Indonesia bergabung untuk menyanyikan sebuah lagu yang menceritakan kemeriahan hari raya bertajuk Lebaran.

Lagu tersebut dihasilkan penuh hati-hati agar mengimbangi ketujuh-tujuh vokal penyanyi yang terdiri daripada Raffa Affar, Fahri Ahmad, Dimansyah Laitupa, Shara Clara, Yurisana Septeasa, Salma Putri dan Reyhan.

Memiliki rekod cemerlang menghasilkan lagu-lagu yang tular di TikTok, pihak syarikat rakaman, Dua Suara Media meminta bantuan Pepep yang juga komposer dan pemain dram kumpulan terkenal, ST12 untuk memberikan magiskan dalam lagu berkenaan.

“Pada awalnya saya fikir lagu ini hanya akan dinyanyikan tiga hingga empat orang. Namun ketika proses membuat lagu berjalan, saya terkejut kerana diberitahu akan dinyanyikan seramai tujuh orang.

“Saya ambil masa sebulan untuk menyiapkan lagu ini. Selain itu saya perlu masa untuk mendengar setiap satu suara penyanyi agar ia bersesuaian dengan bahagian yang ingin dirakam.

“Cabaran saya ialah bagaimana untuk memastikan tidak ada penyanyi yang dilihat terlalu menonjol sehingga menenggelamkan suara penyanyi yang lain dalam lagu ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di BSD City Tangerang, Indonesia, baru-baru ini.

Lebih menarik, inilah kali pertama ketujuh-tujuh artis muda Indonesia itu bekerja dengan pemuzik profesional seperti Pepep.

“Sewaktu dimaklumkan akan bekerjasama dengan Pepep saya sangat teruja. Walaupun personalitinya dilihat sangat periang dan kelakar namun semasa bekerja, dia seorang yang sangat tegas dengan teliti.

“Kami tidak mengambil masa yang lama untuk merakam lagu ini kerana Pepep tahu apa yang diinginkan daripada setiap penyanyi. Saya sangat bersyukur untuk kerjasama ini,” kata Yurisana Septeasa.

Pengarah Dua Suara Media, William Tan, berharap lagu yang dihasilkan di bawah label kendaliannya akan dapat diterima di Indonesia dan Malaysia.

“Ketujuh-tujuh artis ini kita pilih berdasarkan potensi mereka yang kita nilai bedasarkan kepada persembahan juga penampilan mereka semasa menyanyikan lagu-lagu saduran di media sosial.

“Indonesia merupakan sebuah negara yang besar. Bayangkan, hampir setiap hari ada sahaja lagu baru yang diterbitkan di sini. Jadi sangat mencabar untuk artis muda dan baru khususnya untuk ke hadapan.

“Namun begitu, saya berharap semoga lagu ini dapat diterima dan memeriahkan lagi suasana lebaran yang bakal menjelang ini,” katanya.

Untuk rekod, Dua Suara Media merupakan syarikat yang bergerak di bidang label dan penerbitan musik digital yang didirikan pada tahun 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN