Pernah menetap di rumah anak yatim, Fasha Sandha lalui kehidupan sukar - Utusan Malaysia

Pernah menetap di rumah anak yatim, Fasha Sandha lalui kehidupan sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Air mata aktres Fasha Sandha tumpah ketika terkenangkan pengalaman menetap di rumah anak yatim semasa dia berusia lima tahun.

Berkongsi mengenai pengalaman itu, kata Fasha, kehidupan itu bermula selepas ibunya, Hatijah Teh Man, ditugaskan sebagai penjaga di bangunan kebajikan tersebut.

Lebih menghibakan, kata pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan itu apabila wanita terbabit berdepan kesukaran untuk membesarkan mereka adik-beradik sebagai ibu tunggal.

“Apabila mama jadi penjaga rumah anak yatim, kami adik-beradik turut menetap di situ selama satu setengah tahun.

“Memang bukan mudah untuk mama membesarkan kami kerana ibu tunggal atau janda pada zaman itu sering dipandang skeptikal atau tidak dipandang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, Fasha mengakui dia kagum kerana ibunya itu tidak pernah gagal menyediakan keperluan asas untuk mereka adik-beradik.

Malah kata pelakon itu, ibunya juga sanggup mengayuh basikal sejauh tiga kilometer semata-mata untuk hantar mereka ke sekolah.

“Tidak pernah kami tak cukup makan. Setiap hari mama juga bekalkan kami donut,” katanya ketika ditemui pada majlis sumbangan kepada anak yatim bersama jenama tekstil Alfaro di Alfaro Mall, Kuala Lumpur semalam.

Pada majlis itu, Fasha selaku duta Alfaro menyampaikan sumbangan sebanyak 1,000 pasang pakaian kepada anak-anak yatim dari seluruh Lembah Klang.

Bagaimanapun, isteri pelakon Aidil Aziz itu menegaskan perkongsiannya bukan bertujuan meraih perhatian mahupun untuk mengundang simpati.

Katanya, pendedahan buat julung kali kepada pemberita itu dilakukan sebagai memberi inspirasi kepada wanita senasib ibunya agar tidak mudah berputus asa menghadapi takdir.

“Saya bersyukur kerana sewaktu saya sendiri jadi ibu tunggal selama tiga tahun, saya tidak lalui kesukaran membesarkan anak seperti yang mama lalui sebab kerjaya yang ada.

“Itu sebab saya sangat galakkan setiap wanita supaya bekerja walaupun menjadi suri rumah. Apabila wanita bekerja, mereka jadi kuat dan tidak ditindas,” katanya.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, pengalaman tersebut juga menjadikan dia individu yang sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Mengulas pembabitannya sebagai duta Alfaro, pelakon filem Berlari Ke Langit itu berkata, walaupun sibuk dengan pekerjaan, dia tetap mencuri peluang untuk menyantuni anak-anak yatim berkenaan.

Katanya, dikelilingi anak-anak yatim sekali gus membuatnya mengimbau zaman kanak-kanak.

“Saya sebak melihat wajah dan apabila terkenangkan nasib mereka. Itu sebab saya sanggup datang walaupun sibuk dengan penggambaran.

“Tapi saya gembira kerana jenama seperti Alfaro sudi mengagihkan sumbangan kepada mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya