KUALA LUMPUR : Penerbit dan pelakon, Erma Fatima, 56, menaruh keyakinan bahawa pempengaruh terkemuka, Hafiz Mahamad, tidak berniat mencium batu Hajar Aswad di Tanah Suci Mekah semata-mata mahu menghasilkan bahan kandungan di media sosial.
Menerusi satu coretan di Facebook dan Instagram, Erma berkata, apa yang dikongsikan oleh Hafiz di media sosial itu merupakan satu realiti.
Bahkan, Erma juga berkongsi pengalaman bagaimana sukar untuk dirinya mencium batu Hajar Aswad dalam kesesakan dan lautan manusia yang ada di Tanah Suci itu sewaktu menjalani ibadah umrah sebelum ini.
“Inilah hakikat yang harus dilalui kalau kita nak cium Hajar Aswad. Itu kebenarannya. Tak usaha macam itu, memang tak dapatlah.
“Saya percaya, dia (Hafiz), tidak berniat untuk hasilkan bahan kandungan media sosial. Ini kerana saya pun pernah lalui situasi itu.
“Saya sanggup redah semata-mata nak bagi kawan-kawan yang tak pernah cium, dapat cium Hajar Aswad,”katanya.
Pada masa yang sama, kata Erma, dia sedar bahawa perbuatan mencium batu Hajar Aswad bukanlah sesuatu yang wajib dalam Islam.
“Memang bukan sesuatu yang wajib, tetapi nikmatnya bila dapat cium buat mereka yang nak rasa. Cuma, tahap kesanggupan untuk redah itu bergantung kepada diri masing-masing.
“Allah SWT tahu niat dia (Hafiz) untuk bagi semua sahabat-sahabatnya merasa nikmat itu. Mungkin hanya orang yang pernah berada di situ akan faham kenapa dan mengapa,”katanya.
Dalam pada itu, pandangan Erma itu kemudiannya disambut dengan pelbagai respons pengikutnya di media sosial.
Bagaimanapun, Erma tidak terlepas daripada kritikan negatif daripada pengikut yang menganggap tindakan Hafiz itu keterlaluan selain menyifatkan ibadah tidak harus dipertontonkan di media sosial.
Baru-baru ini, Hafiz mengundang kecaman ramai dan teguran daripada ahli agama tentang perilakunya yang berebut dan berhimpit dengan jemaah lain di depan Hajar Aswad hingga sebahagian kain ihramnya terbuka hingga menampakkan dada.
Rata-rata beranggapan tindakannya itu sebagai berlebihan dan tidak mengikut adab dalam menyempurnakan ibadah.
Susulan itu dia bertindak memadam video berkenaan daripada platform media sosial selain memohon maaf kepada semua pihak atas kekhilafannya di media sosial.