Tiada syarat merepek, harga bukan-bukan - Anne Ngasri - Utusan Malaysia

Tiada syarat merepek, harga bukan-bukan – Anne Ngasri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTI tua tidak pernah mendekatinya, yang berubah hanya angka tetapi tidak rupa. Di tangga usia 39 tahun, dia masih kelihatan seperti remaja. Masakan tidak, sehingga sekarang dia masih menerima tawaran sebagai budak belasan tahun.

Namun dalam kelebihan yang ada, hakikatnya dia mendambakan watak yang lebih mencabar. Walaupun sudah tidak seaktif dahulu, sekurangnya kembalinya dia ke layar kaca atau perak biarlah menerusi watak yang lebih dewasa.

Dalam keinginannya itu juga, ada yang beranggapan dia sudah tidak perlu bekerja keras sebgai pelakon. Status sebagai datin dan aktif dalam dunia politik juga membuatkan ramai mempunyai persepsi berbeza.

“Kalau mahu panggil berlakon mesti bayar mahal. Kalau tak pun mesti demand itu ini, tak mahu watak orang kampung lah, miskin lah.”

Itu antara persepsi dan kata-kata yang bertebaran dalam ruang industri sei. Kita dapatkan sendiri jawapan daripada penyandang jawatan Exco Wanita UMNO Malaysia itu. Betul ke sudah demand?

H: Selepas kemenangan Bell Ngasri sebagai Bintang Paling Popular 2023 tahun lalu, Ramai yang bertanyakan mana hilangnya Anne Ngasri. Sudah tidak berlakon lagikah? Sudah tak minat dunia lakonan kah?

A: Jujurnya, saya tak pernah terfikir atau berniat untuk tinggalkan dunia seni. Orang kata, sudah menjadi darah daging. Kalau tinggal rasa macam tak selesa pula. Sekurang-kurangnya dalam setahun itu adalah satu dua drama, walaupun cameo.

Cuma itulah, saya ini jarang dapat tawaran berlakon. Kalau dapat pun dari produksi adik-beradik. Itu pun sebab boleh ‘kautim’ harga. Boleh bayar murah katanya! (seloroh). Kalau produksi luar, jarang sangat.

H: Eh macam tahu je soalan seterusnya. Adakah ini juga berpunca daripada dakwaan kononnya bayaran Anne Ngasri sudah tinggi? Yelah, status dan penglibatan dalam politik membuatkan ramai yang ada persepsi itu.

A: Saya rasa bukan sebab harga mahal atau status. Mana ada pun, saya okay sahaja. Benda boleh dibawa berbincang. Cuma ramai penerbit dan pengarah ingat saya sudah tidak berlakon lain.

Saya tidak pernah umum bersara atau berhenti tetapi bila semakin tidak aktif berlakon, ada yang anggap saya sudah tidak berminat terima tawaran. Sedangkan saya sangat mengalu-alukan tawaran lakonan.

H: Atau sebenarnya, ada produksi yang risau dengan syarat-syarat tertentu daripada Anne?

A: Syarat yang ada pun selalunya berkaitan dengan penjagaan anak-anak. Kalau boleh, saya memang elakkan tawaran yang menuntut saya ke luar kawasan dan bekerja hingga larut malam berhari-hari.

Memang berlakon bukan lagi keutamaan kerana saya ada keluarga dan kerja-kerja luar yang harus diberi perhatian. Tetapi tidak bermakna saya sudah tidak berlakon lagi. Kadang-kadang saya rasa macam hendak merayu pula. Tolonglah panggil saya berlakon, rindu sangat.

H: Ada juga cakap susah nak beri watak ibu atau wanita berusia kepada Anne sebab wajah masih tampak remaja? Apa komen Anne sendiri.

A: Nampak muda pun memeningkan juga kadang-kadang ya. Saya ada juga terima watak pembantu. Kawan kepada heroin atau rakan sekerja ke. Watak mak-mak yang matang, jarang sangat. Mungkin tidak ada.

Saya juga tahu, kalau nak beri watak utama itu mungkin tidak. Tetapi saya ini tidak kisah pun kalau beri watak pembantu, jadi ibu atau rakan watak utama. Okay sahaja. Tiada demand lebih-lebih.

H: Di usia seni menjangkau hampir empat dekad, mungkin ada watak-watak tertentu yang Anne dambakan?

A: Sebenarnya tidak ada pun. Saya sendiri dalam hidup tidak ada impian atau cita-cita yang terlalu tinggi. Saya menghargai setiap kejayaan, kecil atau besar. Saya tidak mahu memaksa apa-apa, biar Tuhan tentukan.

Dalam politik sekalipun, saya tidak letak harapan untuk jawatan yang besar, Saya cuma mahu memberi semula kepada masyarakat. Membantu wanita yang memerlukan dalam menguruskan kehidupan mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya